LGBT: Polis ambil keterangan dua ahli PSM 

LGBT: Polis ambil keterangan dua ahli PSM 

MOHD. SHUHAILY MOHD. ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Polis mengesahkan telah mengambil keterangan dua individu daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) berhubung penganjuran program berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Kata beliau, kedua-dua mereka dipanggil untuk dirakam percakapan petang tadi oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah.

“Keterangan itu bagi membantu siasatan kes berkaitan hantaran  penganjuran perhimpunan Pride Care LGBT,” katanya di sini.

Beliau menambah, kertas  siasatan akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara setelah siasatan lengkap.

“Setakat ini siasatan masih dijalankan untuk dilengkapkan,” jelasnya.

Terdahulu, polis memaklumkan akan memanggil penganjur program berkaitan LGBT oleh sayap pemuda sebuah parti politik di Petaling Jaya.

Mohd. Shuhaily  berkata, tindakan itu selepas sebanyak 188 laporan polis diterima berhubung dakwaan penganjuran program itu. 

Beliau berkata, semua laporan diterima daripada pelbagai pihak di seluruh negara sejak isu itu tular minggu lalu.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan siasatan dijalankan selepas pihaknya mengesan satu hantaran di media sosial berhubung perancangan program dipercayai akan diadakan pada 21 Jun ini di Petaling Jaya.

Program itu menyentuh sensitiviti masyarakat dan bertentangan dengan undang-undang negara yang tidak mengiktiraf sebarang bentuk amalan LGBT.

Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ, Bukit Aman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN