IPOH: Letupan atau gegaran misteri yang berlaku di Ipoh minggu lalu bukan berpunca daripada ledakan sonik gelombang kapal terbang jet.
Menurut Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Perak, dentuman yang berlaku pada tahun 2012, 2018 serta 2024 juga telah dipastikan bukan akibat letupan aktiviti kuari, ujian bom atau sonic boom (ledakan sonik) kapal terbang jet.
Jabatan berkata, kajian awal menunjukkan kawasan di mana orang awam mendengar bunyi letupan tersebut adalah dalam lingkungan yang sama iaitu Chemor, Klebang, Meru, Tambun dan Gunung Rapat.
“JMG Perak akan terus menjalankan kajian dari punca geologi sekitaran Ipoh dan setakat ini belum dapat mengesan puncanya,” menurut jabatan itu hari ini.
Kejadian terkini berlaku pada 18 Jun lalu kira-kira 10.30 pagi sehingga ada penduduk mendakwa tingkap di rumah dan pejabat turut bergegar sebaik sahaja bunyi kuat itu kedengaran.
Mengikut kajian JMG Perak, bunyi letupan misteri telah dilaporkan di seluruh dunia sekian lama tanpa penjelasan yang pasti.
“Bunyi ini digambarkan dari arah langit dengan letupan yang sederhana hingga kuat, dan kadangkala menggegarkan tingkap dan dinding bangunan. Selain Ipoh, letupan misteri juga pernah berlaku di beberapa negara,” jelas jabatan itu.
Mengulas mengenai perkara sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, siasatan masih diteruskan oleh pihak polis kerana ia berkaitan keselamatan negeri.
“Siasatan masih diteruskan. Tetapi belum menemui punca letupan secara spesifik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Malaysia Culinary World Cup 2025 di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini hari ini. – UTUSAN