PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah, Nadhir Nasar, mengajak penggiat seni generasi muda untuk mula berkarya tanpa terlalu memikirkan populariti atau jumlah pengikut media sosial.
Kongsi Nadhir atau Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 28, sebuah karya yang jujur dan berani tetap dapat menyentuh hati penonton ketika ia ditayangkan.
“Kepada pengarah dan pelakon muda, mulakanlah berkarya. Letak tepi soal populariti atau jumlah pengikut. Cerita yang hebat tak bermula dengan seberapa banyak ia disukai.
“Tapi ia dimulakan dengan kejujuran, keberanian, dan rasa ingin menyampaikan sesuatu yang benar.
“Kamu tak berada di sini untuk jadi viral, Tapi untuk menyentuh hati-hati. Tunggu apa lagi, mulakan sekarang,” tulisnya menerusi hantaran di Instagram.
Dalam pada itu, pengarah video muzik Malam Pagi itu juga menegaskan seorang pelakon sejati tidak mengejar kemahsyuran sebaliknya memiliki kebolehan mencipta rasa erat melalui karya dengan penonton.
“Populariti bukanlah tujuan sebenar seorang pelakon sejati, tapi perhubungan. Hubungan dengan penonton, insan atau sesuatu yang lebih besar daripada diri kita sendiri.
“Peminat mungkin tak akan nampak kami selalu hadir di mana-mana acara, atau berkongsi cerita peribadi setiap jam.
“Kerana di sebalik semua itu, ada bertindan kerja – penuh dengan latihan lakonan, siri kegagalan, juga usaha untuk menjelmakan sesuatu yang gembira ditonton di layar,” katanya.
Sementara itu, juara Hero Remaja 2020 itu juga berkata, tugas seorang anak seni ialah menjelmakan keperluan naskhah dengan sebaiknya.
“Tidak semua pelakon mempunyai hasrat menjadi rujukan cara berfesyen atau cuba jual apa-apa produk kepada awak.
“Kami hanya mahu menyentuh perasaan, walaupun cuma sekejap. Dalam pawagam yang gelap, di mana tidak semestinya tepukan akan kedengaran, di situlah sebuah kebenaran disampaikan.
“Kita dinilai bedasarkan karakter yang kita bawakan, bukan tentang siapa diri kita. Kerana sebuah seni bukan dinilai dari populariti tapi kesannya kepada jiwa,” tulisnya.