DUNGUN : Sebanyak 12 Pusat Hemodialisis Felda (PHF) yang dibina di wilayah Felda seluruh negara bagi kegunaan pesakit buah pinggang, dijangka siap tahun ini.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, daripada jumlah itu, sebanyak lapan buah pusat hemodialisis telah disiapkan dan dijangka dapat beroperasi seawal bulan depan.
Katanya, PHF yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dapat memberi manfaat kepada warga Felda dan penduduk sekitar yang mempunyai masalah buah pinggang kronik.
“Sebanyak 12 buah pusat hemodialis dijangka disiapkan tahun ini dan Perdana Menteri turut mengumumkan sebuah lagi pembinaan pusat ini di Sabah menjadikan keseluruhan PHF sebanyak 13 buah.
“Pusat hemodialisis ini dibina bagi menampung pesakit buah pinggang yang semakin ramai dan sekurang-kurangnya dapat memberi keselesaan kepada warga Felda yang mempunyai masalah buah pinggang untuk menjalani rawatan,” katanya selepas menyempurnakan majlis Pra-Pelaksanaan Pusat Hemodialisis di Felda Kerteh 5, di sini, hari ini.
Ahmad Shabery berkata, pembinaan PHF juga mengurangkan kebergantungan kepada hospital yang sering mengalami kekangan kapasiti selain mengurangkan kos perjalanan pesakit yang tinggal di kawasan Felda.
Menurutnya, setiap PHF dilengkapi sekurang-kurangnya enam buah mesin dialisis yang dapat menampung sehingga 36 orang pesakit dalam satu-satu masa secara berjadual.
“Untuk di Felda Kerteh 5 ini, saya telah melakukan tinjauan dan dilengkapi dengan enam buah mesin dialisis serta bilik rawatan. Kos pembinaan pusat ini menelan belanja kira-kira RM500,000 yang mana pusat ini dijangka beroperasi bulan depan,” katanya.
Mengenai kos rawatan, Ahmad Shabery berkata, ia dikenakan dengan kos yang minimum dan Yayasan Felda berusaha mendapatkan bantuan untuk pembiayaan pesakit. – UTUSAN