LUMUT: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung melakukan penutupan dan lencongan jalan secara berperingkat di Lumut mulai hari ini sehingga 15 Jun sempena Program Madani Rakyat (PMR) Perak 2025.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman, berkata ia dilakukan selaras dengan program itu yang diadakan di Dataran Lumut pada 13 hingga 15 Jun ini.
“Jalan-jalan yang ditutup dan dilencongkan mulai hari ini melibatkan penutupan laluan di Jalan Titi Panjang dari simpang Jalan Iskandar Shah dan Jalan Titi Panjang iaitu berhampiran kedai Pemborong Hasil Laut Anak Kampung Pangkor, ke arah simpang Jeti Lumut.
“Lencongan jalan (laluan sehala) di Jalan Titi Panjang bermula dari simpang Jeti Lumut sehingga ke arah simpang Jalan Iskandar Shah dan Jalan Titi Panjang,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, penutupan dan lencongan jalan pada 13 hingga 15 Jun pula ialah lencongan jalan menjadi laluan sehala di Jalan Iskandar Shah bermula dari simpang Jalan Titi Panjang sehingga ke simpang Jeti Lumut.
Pada masa sama, katanya, lencongan jalan menjadi laluan sehala dari simpang Jalan Nakhoda Mohamad Taib yang bersebelahan Restoran Nasi Ayam Bakar Tapah Road @ Lumut, menuju ke arah Jalan Raja Musa.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya khususnya warga daerah Manjung untuk merancang perjalanan dan menggunakan laluan alternatif yang bersesuaian untuk menuju ke destinasi masing-masing dalam tempoh tersebut. – UTUSAN