JOHOR BAHRU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mengesahkan kualiti udara di sekitar Kawasan Perindustrian Kota Puteri, Masai, masih terkawal susulan kebakaran besar yang berlaku di kawasan itu semalam.
Pengarahnya, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, pemantauan dilakukan di tiga lokasi termasuk Sekolah Kebangsaan Seri Kota Puteri, pos kawalan bomba di Jalan Kempas 12 serta premis Makmur Maju Logistic Sdn. Bhd.
“Secara umumnya, kualiti udara berada pada tahap tidak membimbangkan dan tiada bahan pencemar berbahaya dikesan di sekitar kawasan kejadian,” katanya.
Menurut beliau, tiada bacaan Sebatian Organik Meruap (VOC) direkodkan, manakala bacaan ammonia di pos kawalan bomba masih di bawah paras Acute Exposure Guideline Level 2 (AEGL 2).
Katanya, pemantauan akan diteruskan bagi memastikan tiada pencemaran susulan kebakaran berkenaan.
Semalam, lima premis kilang membabitkan kawasan kira-kira 1,000 meter persegi terbakar dalam kejadian itu, menyebabkan kepulan asap dan api setinggi 100 meter kelihatan di udara.
Kebakaran turut memusnahkan tujuh lori, lima motosikal dan tiga buah kereta persendirian. – UTUSAN