KRU pernah diugut 'baling telur' - Utusan Malaysia

KRU pernah diugut ‘baling telur’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INDUSTRI muzik tempatan menyaksikan kerancakkan era rock kapak dengan kemunculan banyak kumpulan yang memperjuangkan genre muzik tersebut sekitar era 80-an hingga 90-an.

Tempoh itu juga menyaksikan kumpulan KRU yang mengetengahkan muzik Hip Hop dan R&B, yang merupakan genre yang asing kepada masyarakat.

Tentunya ketika itu KRU berdepan cabaran getir kerana berdepan penolakan dan tentangan daripada pelbagai pihak yang tidak senang dengan imej dan muzik yang mereka sampaikan.

Datuk Norman Abdul Halim yang ditemui baru-baru ini berkongsi cerita di awal pembabitan, kesukaran yang mereka tempuhi ketika itu.

“Luar biasa tentangan peminat zaman dulu. Antara yang paling ditakuti adalah dimalukan atas pentas jika terkena telur yang dibaling penonton yang anti dengan artis atau sesebuah kumpulan.

“Dulu memang ada pihak yang ugut kami, rancang baling telur ke arah kami ketika membuat persembahan sempena pesta hiburan di Pulau Pinang.

“Ugutan itu cukup merisaukan, membuatkan Edry berkeras untuk tidak membuat persembahan kerana dia takut penonton merusuh. Kami tak ada pilihan, terpaksa teruskan persembahan tanpa Edry.

“Kami cuba ambil hati penonton dengan menyanyikan lagu Generasiku yang ada unsur Rock. Alhamdulillah penonton waktu itu terhibur,” ceritanya.

Norman mengakui bukan mudah untuk menarik kepercayaan masyarakat terhadap perjuangan muzik yang mereka bawakan lebih-lebih lagi ketika zaman muzik Rock bermaharajalela satu masa dulu.

“Saya tidak nafikan ramai pihak, antaranya dalam kalangan orang industri seni yang tidak senang dengan kemunculan kami.

“Pada pandangan saya kebencian mereka lebih menjurus kepada salah anggap mereka terhadap kami yang dituduh membawa budaya kuning.

“Tapi kami bersyukur dan lega apabila lama kelamaan salah anggap itu bertukar menjadi sokongan yang tidak berbelah bahagi,” kongsinya lagi.

BERDIKARI PADA USIA MUDA

Sebelum KRU ditubuhkan, Norman, Yusry dan Edry ketika zaman remaja mereka pernah menetap di London selama dua tahun kerana mengikuti bapa mereka, Abdul Halim Kamal yang bertugas di United Kingdom.

Kata Norman, ketika itu ibu bapa menggalakkan mereka bekerja agar mereka mampu berdikari.

“Saya pernah bekerja di stesen minyak, Yusry di restoran Tandoori manakala Edry pernah menjadi penghantar surat khabar.

“Itu antara cara yang memudahkan kami mengadaptasi kehidupan di negara orang. Selain itu, kerja-kerja itu juga yang mengikis sikap pemalu kami,” kongsinya.

Kata Norman, dalam tempoh dua tahun itu juga mereka sudah berjinak-jinak dengan aktiviti penghasilan lagu dan muzik.

“Kami bukan pelajar muzik, tapi kami belajar sendiri cara menghasilkan lagu dan muzik.

“Untukmu adalah lagu pertama yang kami hasilkan. Lagu itu saya tulis di London, ketika saya berusia 15 tahun. Ia berkaitan tentang perasaan saya terhadap seseorang ketika itu,” katanya.

Kata Norman, kebanyakan lagu KRU diinspirasikan daripada pengalaman sendiri dan kisah hidup orang lain.

“Contoh lagu Awas pada 1994 yang kami hasilkan tentang seorang artis perempuan yang kami minati satu masa dulu kerana kecantikannya.

“Tapi yang mengecewakan adalah apabila artis perempuan itu memilih seorang lelaki berusia sebagai teman lelakinya. Kisah itu kami jadikan lagu,” kongsinya.

BUDAYA KUNING DAN PENGHARMAN KONSERT

KRU muncul dengan album pertama, Canggih sekitar tahun 1992. Fasa permulaan mereka penuh halangan lebih-lebih lagi apabila stesen radio bertindak mengharamkan lagu-lagu mereka dimainkan.

“Sembilan daripada 10 lagu dalam album itu dihalang daripada diputarkan di corong radio atas alasan wujudnya pengaruh budaya kuning selain campuran bahasa Inggeris dan Melayu dalam lirik yang kami hasilkan.

“Kami sedar yang lagu-lagu kami mungkin terlalu ke depan dan sukar diterima pendengar zaman itu.

“Tapi kami usahakan juga, rakam semula lagu-lagu yang diharamkan dan gantikan perkataan Inggeris yang kami gunakan dengan Melayu.

“Alhamdulillah, selepas itu lagu-lagu kami mula dimainkan di radio,” jelasnya.

Tahun 1997 menjadi antara tahun yang paling mencabar apabila kumpulan ini diharamkan selama tiga bulan.

Pada masa itu, muncul pelbagai pihak, antaranya ahli politik yang membantah kumpulan ini mengadakan konsert atas alasan imej dan muzik yang mereka bawa bertengangan dengan ajaran Islam selain dianggap membawa budaya negatif.

“Ketika itu saya sangat kecewa, anggap itulah pengakhiran KRU.

Bila konsert kami diharamkan, saya terduduk. Banyak perkara yang bermain dalam fikiran saya.

“Kami buntu tak tahu apa mahu dijelaskan kepada penaja dan client kami ketika itu. Dalam masa sama , kami juga runsing macam mana mahu lunaskan pinjaman bank, selain membayar gaji lebih 40 kakitangan kami ketika itu.

“Isu pengharaman KRU ketika itu dibincangkan di Kabinet. Saya masih ingat lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri, menyarankan agar ada pihak yang membantu kami. Saranan itu saya saksikan menerusi Buletin Utama.

“Dua tiga bulan kami tertekan. Ada pihak yang kononnya mahu bantu, kemudian menghilangkan diri. Namun akhirnya kami bersyukur apabila tajaan diteruskan dan kami dapat meneruskan konsert,” ceritanya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN