Kota Madani: Penjawat awam dijangka jimat RM1,000 sebulan

Kota Madani: Penjawat awam dijangka jimat RM1,000 sebulan

MODEL projek pembangunan Kota Madani di Presint 19, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Golongan penjawat awam khususnya kumpulan sokongan dijangka mampu menjimatkan perbelanjaan bulanan sehingga RM1,000 menerusi pelaksanaan Projek Pembangunan Kota Madani di Presint 19 di sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan realiti dihadapi penjawat awam yang perlu menanggung pelbagai perbelanjaan termasuk bayaran sewa rumah.

“Bayangkan realiti dihadapi seorang pegawai kumpulan sokongan yang tidak dapat kuarters kerana tiada kekosongan, terpaksa sewa rumah di sekitar Putrajaya dengan bayaran sekitar RM1,200 hingga RM1,500.

“Kos petrol hantar anak ke sekolah kemudian ke pejabat pula memerlukan lagi RM500. Jadi, dengan adanya Kota Madani ini, pegawai tersebut hanya duduk di kuarters dengan kos yang minimum, elaun rumah ditolak dan elaun kos sara hidup (COLA) ditolak separuh, kurang lebih RM400.

“Sekolah juga dekat, tidak perlu risau, kos petrol boleh dijimatkan. Saya anggarkan, pegawai tersebut boleh jimat sehingga RM1,000 sebulan,” katanya pada Majlis Peluncuran Projek Pembangunan Kota Madani di Presint 19 di sini tadi.

Menerusi penjimatan itu, Dr. Zaliha berkata, kumpulan penjawat awam boleh membuat simpanan seterusnya membentuk masa depan lebih baik.

“Inilah konsep Madani yang kita bangunkan dengan realiti, bukan sekadar slogan,” katanya.

Jelas beliau, penerima manfaat kepada pembangunan Kota Madani ialah seramai 10,000 orang penjawat awam berikutan rumah yang dibina merupakan kuarters kepada kumpulan itu.

“Keperluan sebenar kuarters di Putrajaya adalah sebanyak 35,000 unit, namun ketika ini kita hanya ada 22,000 unit sahaja.

“Permintaan terhadap kuarters juga tinggi di mana permohonan yang berada dalam senarai menunggu kuarters sekarang seramai 17,000.

“Realitinya, jumlah kuarters ini kekal 22,000 unit sejak lebih 20 tahun lalu, tidak pernah ada peningkatan dan tidak diselesaikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN