Kos Kota Madani ditanggung pemaju, tak bazir duit rakyat

Kos Kota Madani ditanggung pemaju, tak bazir duit rakyat

DR. ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kos sebanyak RM4 bilion untuk membangunkan Kota Madani di Putrajaya tidak ditanggung oleh rakyat, sebaliknya ditanggung sepenuhnya oleh pemaju.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, Kota Madani dibangunkan melalui kerjasama awam-swasta dengan konsep BLMT (Bina–Sewa–Selenggara–Pindah Milik) oleh Putrajaya Holdings.

“Kos pembangunan RM4 bilion ini ditanggung sepenuhnya oleh pemaju. Pemaju juga akan menanggung kos penyelenggaraan.

“Selepas 25 tahun, keseluruhan projek ini akan jadi milik kerajaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, fasa pertama Kota Madani yang melibatkan pembinaan sekitar 3,000 unit kediaman dan sebuah sekolah menegak itu dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang hujung 2027.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, konsep Kota Madani itu menekankan kemudahan asas yang menyeluruh dan berpusat demi kebajikan rakyat.

Bagaimanapun, terdapat tentangan daripada ahli Parlimen pembangkang yang menyifatkan projek tidak sewajarnya menggunakan slogan pentadbiran bagi mengelakkan pembaziran wang rakyat.

Mengulas mengenai kebimbangan yang dibangkit, Dr. Zaliha berkata, Madani bukan label politik seperti mana yang didakwa sebahagian pihak.

“Kota Madani ini dibangunkan selari dengan visi Bandar CHASE iaitu bandar yang bersih, sihat, terkehadapan, selamat dan mesra alam. Ada juga elemen rendah karbon, jaringan hijau, mobiliti pintar dan teknologi terkini,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN