Koperasi Tentera umum dividen 7.1 peratus

Koperasi Tentera umum dividen 7.1 peratus

MOHAMED Khaled Nordin (tengah) diiringi Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan (dua kiri) melakukan gimik pelancaran produk Koperasi Tentera sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Tentera Ke-59 di Dewan Perkasa, Wisma Perwira di sini hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera) mengumumkan agihan dividen 7.1 peratus membabitkan jumlah sebanyak RM125.3 juta untuk tahun 2024 kepada 155,678 anggotanya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, agihan dividen itu lebih tinggi berbanding 7 peratus pada tahun sebelumnya.

“Kita memahami koperasi ini adalah instrumen ekonomi dan instrumen sosial anggota.  Kementerian Pertahanan (Mindef) komited memastikan koperasi ini berjaya.

“Kementerian juga bersedia  memberi kerjasama untuk membuka peluang ekonomi yang boleh disediakan oleh pihak koperasi,” katanya kepada  pemberita selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Tentera ke-59, di sini.

Turut hadir, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Pengerusi Koperasi Tentera, Leftenan Jeneral Datuk Zaidan Atan.

Terdahulu, Mohamed Khaled berkata, Koperasi Tentera mempunyai dua kekuatan yang boleh membantu mereka menjadi instrumen ekonomi yang berpusat.

“Koperasi Tentera mempunyai keahlian yang besar dengan yuran dan modalnya. Daripada sudut koperasi, bukan sekadar tengok jumlah yang besar tetapi bagaimana menggunakan dana besar itu untuk membawa pulangan lebih baik kepada koperasi.

“Kedua, koperasi adalah sebahagian daripada ekosistem Mindef danMenteri Pertahanan menjadi penaung. Saya terima sebagai satu cabaran, saya akan pastikan koperasi ini menjadi satu koperasi yang kuat,” katanya.

Beliau turut berharap proses Pemilihan Calon Anggota Lembaga Koperasi 2025 berjalan lancar dan berpaksikan kepada nilai koperasi serta demokrasi.

“Saya memberi jaminan kepada lembaga pengarah yang akan dipilih, termasuk kepada semua anggota Koperasi Tentera (bahawa) Mindef akan terus memberi sokongan untuk memastikan kejayaan koperasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN