KUALA LUMPUR: Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad (KPDRM) mengumumkan agihan dividen tahunan sebanyak 5.8 peratus atas modal yuran dan 9.2 peratus atas modal syer kepada 119,922 anggota dengan jumlah jumlah keseluruhan berjumlah RM36.14 juta.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pemberian dividen tersebut sangat lumayan diagihkan kepada anggota KPDRM sepanjang 97 tahun penubuhan koperasi.
Katanya, dividen terbabit menunjukkan peningkatan sebanyak 0.3 peratus bagi modal yuran dan 2.2 peratus untuk modal syer berbanding tahun lalu.
“KPDRM Berhad mencatatkan keuntungan berjumlah RM50.14 juta bagi tahun lalu, RM45.02 juta pada 2023.
“Ini dipengaruhi peningkatan jumlah keanggotaan berdaftar daripada 114,608 orang pada 2023 kepada seramai 119,922 anggota pada 2024 melibatkan pertambahan seramai 5,314 orang,” katanya dalam ucapannya ketika Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan KPDRM Berhad ke-90 di sini hari ini.
Sehubungan itu, menurutnya, pemilikan modal yuran turut meningkat kepada RM586.6 juta pada 2024 berbanding RM558 juta pada 2023, peningkatan 4.9 peratus bersamaan RM28.6 juta.
Jelas beliau, pemilikan modal syer turut meningkat kepada 11 peratus bersamaan RM2.9 juta daripada RM20.5 juta pada tahun 2023, kepada RM23.04 juta pada tahun lalu.
“Saya percaya pencapaian ini adalah lanjutan peningkatan tahap keyakinan warga PDRM terhadap prestasi cemerlang dan penawaran pelbagai kemudahan kepada anggota koperasi berdaftar,” katanya. – UTUSAN