TANGKAK: Konflik keluarga dipercayai menjadi punca tragedi menyayat hati seorang seorang kerani dikelar sehingga mati oleh suaminya di Taman Cahaya, Bukit Gambir, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd. Talib berkata, mangsa, Lecah Junus, 34, dipercayai dibunuh oleh suspek berusia 33 tahun kira-kira pukul 4.30 petang.
Katanya, kejadian itu hanya terbongkar selepas suspek bertindak membakar rumah ibu mentuanya di Kampung Pengkalan Kota, Durian Chondong pada pagi semalam.
“Suspek berjaya ditangkap oleh adik iparnya yang kemudian membawanya ke Balai Polis Bukit Gambir.
“Hasil soal siasat suspek memberitahu mangsa telah tiada (dibunuh). Sepasukan anggota telah ke kediaman pasangan itu dan hasil pemeriksaan di lokasi telah menemukan mangsa dalam keadaan berlumuran darah yang ditutup dengan selimut di ruang tamu.
“Kita juga menjumpai pisau berhampiran mayat dipercayai digunakan suspek. Motif awal, kita percaya ini berkaitan dengan masalah keluarga,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah, namun mempunyai satu rekod lampau di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dan telah dijatuhi hukuman denda RM1,800 pada 2017.
Suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 435 kanun sama, iaitu melakukan khianat dengan api. – UTUSAN