PETALING JAYA: Penyanyi dan pengacara, Aril Pilus, 39, memaklumkan pemergiaan abangnya, Allahyarham Izwan Pilus 14 tahun lalu meninggalkan hikmah yang cukup besar dalam hidupnya.
Kata pemilik nama sebenar Khairil Azam Pilus itu, ketiadaan Izwan sebenarnya mengajar dia menjadi lebih bertanggungjawab terhadap dirinya sendiri dan keluarga.
“Kalau dia masih ada, saya tak tahu apa akan jadi kepada diri saya sekarang, mungkin masih berperangai ‘gila-gila’, digosipkan sana sini.
“Atau mungkin saya tak kahwin lagi, masih nakal dan bermacam lagi. Ketiadaan arwah membuatkan saya menjadi lebih bertanggungjawab sebagai anak lelaki tunggal,” katanya.
Aril berkata demikian sewaktu sidang media Konsert Muzik Kita di Banafee Hall Space baru-baru ini.
Allahyarham Izwan menghembuskan nafas terakhir pada Januari 2012 akibat jangkitan kuman dalam darah dan jangkitan kencing tikus yang serius.
Arwah yang popular dengan lagu Kembali Senyum meninggal dunia di Hospital Ampang beberapa jam selepas dimasukkan ke wad.
Kata Aril, arwah abangnya itu antara individu yang banyak menyuntik semangat untuk dia kembangkan kerjaya dalam dunia seni tanah air.
“Saya ada ziarah pusaranya pada Hari Raya Aidilfitri yang lepas dan kongsikan momen itu di media sosial.
“Dia adalah insan yang menaikkan semangat dan menjadi penggerak utama agar saya berbuat sesuatu dalam industri kreatif.
“Mengenang arwah, namanya sentiasa saya sebut dalam doa setiap kali selepas saya selesai solat. – UTUSAN