SHAH ALAM: Khabar angin yang mengatakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua akan dikosongkan bagi memberikan ruang kepada bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sama sekali tidak akan berlaku.
ADUN Sungai Tua, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dakwaan yang dibuat oleh beberapa pihak tersebut hanyalah bersifat spekulasi dan hanya mensensasikan suasana politik negara ketika ini.
“Saya rasa ia datang dari imaginasi individu tertentu yang cuba ‘impose’ imaginasi kepada netizen melalui hantaran di media sosial.
“Saya tak rasa (akan kosongkan kerusi). Pandangan peribadi dan parti ialah kita mahu lengkapkan penggal ini dengan sempurna dan damai kerana banyak lagi kerja yang perlu diselesaikan,” katanya selepas Majlis Penyerahan E-Bike oleh Menteri Besar Selangor kepada Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.
Menurutnya, PKR Selangor tidak mahu mengulangi tindakan ‘Langkah Kajang’ yang pernah mencetuskan ketidaktentuan politik di negeri itu selama beberapa bulan, beberapa tahun lalu.
Jelas Amirudin, tindakan tersebut telah memberikan pengajaran penting kepada parti itu, iaitu tidak mencetuskan kestabilan politik dalam Selangor.
“Saya tak rasa hal ini perlu dilanjutkan dalam keadaan sekarang apatah lagi fokus penting kini ialah untuk meluruskan kembali kepimpinan dan memberi tumpuan kepada isu-isu berkaitan keutuhan kerajaan Persekutuan, negeri serta (Pilihan Raya Negeri) Sabah.
“Apa yang penting ketika ini adalah menghabiskan mandat yang diberikan rakyat negeri ini kepada kerajaan PH Selangor yang berbaki lagi dua tahun lebih sahaja,” katanya yang juga Menteri Besar Selangor.
Sebelum ini, terdapat khabar angin di media sosial yang menyatakan Tengku Zafrul yang kini Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri akan menjadi Menteri Besar Selangor yang seterusnya.
Amirudin sebelum ini berulang kali menyatakan bahawa beliau akan kekal sebagai Menteri Besar negeri itu, walaupun terdapat desas-desus yang mendakwa beliau akan menjadi Menteri di peringkat Pusat beberapa kali.-UTUSAN