PETALING JAYA: Kertas siasatan kes amang seksual membabitkan penyanyi dan pelakon terkenal terhadap seorang remaja berusia 17 tahun akan diserah ke Timbalan Pendakwa Raya hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, kertas siasatan akan dilengkapkan berkaitan kes terbabit.
“Kertas siasatan dilengkapkan dan akan diserah ke TPR hari ini. Siasatan sedang dijalankan dan saya akan maklumkan kemudian sama ada suspek akan didakwa esok atau belum,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Media semalam melaporkan pelakon dan penyanyi terkenal ditahan polis selepas melakukan amang seksual ke atas remaja perempuan di sebuah hotel di Selangor.
Mangsa berusia 17 tahun itu dikatakan berkenalan dengan artis terbabit di sebuah kafe tempatnya bekerja.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan dilaporkan berkata, mereka kemudian bertemu beberapa kali selepas perkenalan itu.
Menurutnya, selepas beberapa kali pertemuan suspek kemudian membawa mangsa bertemu di sebuah hotel.
“Ketika dalam pertemuan itu suspek melakukan perbuatan amang seksual fizikal kepada mangsa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792),” katanya.- UTUSAN