BANGI: Kerajaan akan meneliti semula pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap buah-buahan import dalam tempoh sebulan berikutan kebimbangan dibangkitkan pelbagai pihak termasuk pemain industri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan mengambil maklum pandangan yang dikemukakan dan akan mempertimbangkan semula senarai barangan yang dikenakan cukai berkenaan.
Katanya, perkara itu akan dibawa ke peringkat Jemaah Menteri sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat dengan mengambil kira keperluan rakyat termasuk golongan berpendapatan rendah.
“Contohnya, negara kita tidak mengeluarkan buah epal atau limau mandarin. Jadi, walaupun tujuan pengenaan SST adalah untuk melindungi industri buah-buahan tempatan, perlu difahami bahawa tidak semua jenis buah-buahan dapat dikeluarkan dalam negara.
“Saya percaya akan ada penyelarasan terhadap senarai bahan-bahan tertentu yang dikenakan SST antara lima hingga 10 peratus. Namun, hal ini belum dimuktamadkan dan masih memerlukan pertimbangan Jemaah Menteri. Saya yakin Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi sedang meneliti perkara ini secara menyeluruh,” katanya.
Pengarah Urusan Mydin Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin Mohamed baru-baru ini dilaporkan berkata, langkah kerajaan mengenakan SST ke atas buah import sebagai ‘tidak masuk akal’ memandangkan barangan itu turut digunakan rakyat berpendapatan rendah.
Minggu lalu, kerajaan mengumumkan bahawa SST yang diperluaskan akan dilaksanakan mulai 1 Julai 2025 dengan cukai jualan sebanyak lima hingga 10 peratus dikenakan ke atas barangan terpilih dan bukan keperluan.
Menurut Ahmad Zahid, pandangan yang dikemukakan pihak industri seperti Mydin bukanlah pandangan terpencil sebaliknya harus diberi perhatian sewajarnya dalam merangka dasar yang lebih adil dan menyeluruh.
Katanya, kerajaan bersikap terbuka terhadap pandangan yang membina dan sentiasa mempertimbangkan suara rakyat dalam setiap keputusan yang memberi kesan langsung kepada kos sara hidup. – UTUSAN