IPOH: Setiap waris kepada sembilan mangsa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam kemalangan di Teluk Intan pada bulan lepas telah menerima sumbangan sebanyak RM5,000 daripada kerajaan negeri Perak.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sumbangan itu dibuat melalui Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU).
Jelasnya, sumbangan itu sama seperti yang dilakukan oleh kerajaan negeri terhadap waris mangsa kemalangan maut membabitkan dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada tahun lalu.
“Sepertimana yang telah kita sumbangkan kepada (waris) mangsa helikopter TLDM, sama kita bagi RM5,000 untuk satu keluarga,” katanya selepas majlis pelancaran Pelan Tindakan Ekonomi Digital Negeri Perak 2030 dan Blueprint Bandar Pintar Negeri Perak 2040 di sini hari ini.
Dalam kejadian pada 13 Mei lalu, trak FRU yang membawa 18 anggota menuju ke Ipoh selepas selesai bertugas di Teluk Intan bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu.
Lapan anggota maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan sementara beberapa lagi cedera dan dirawat di hospital sama.
Sementara itu, Saarani berkata kerajaan negeri juga akan melakukan kajian menyeluruh terhadap cadangan pelaksanaan larangan penjualan rokok elektronik atau vape di negeri ini.
Malah katanya, beliau turut menerima permintaan daripada para peniaga vape untuk bertemu dengannya berhubung perkara tersebut.
“Ada perkara perlu diperhalusi sebelum kita buat keputusan. Daripada aspek kesihatan dan aspek kesan kepada peniaga-peniaga vape. Itu kena ambil kira,” katanya. – UTUSAN