Kerajaan negeri disaran bantu sediakan tanah untuk golongan muda bertani - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri disaran bantu sediakan tanah untuk golongan muda bertani

ARTHUR Joseph Kurup (kiri) mengiringi Saarani Mohamad melawat gerai pameran sempena FAMA Fest 2025 Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOPENG: Kerjasama daripada kerajaan negeri diperlukan dari segi penyediaan tanah untuk membolehkan golongan muda berpeluang menceburi sektor pertanian.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup melihat kerjasama itu penting setelah pelbagai usaha dibuat untuk menarik golongan muda menyertai bidang pertanian.

Jelasnya, kementerian menggalakkan penyertaan dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) pertanian seperti penternakan, perikanan dan tanaman sayur.

“Malah kita akan membiayai sepanjang kursus itu termasuk asrama dan elaun harian. Ini semua usaha untuk menarik golongan belia menceburi bidang pertanian.

“Dan juga mesti ada kerjasama daripada kerajaan-kerajaan negeri. Kawasan tanah juga akan disediakan oleh kerajaan negeri supaya golongan belia ini ada peluang untuk memperluaskan dan meningkatkan lagi sektor pertanian negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada penutup program FAMA Fest 2025 Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng dekat sini hari ini.

Beliau ditanya tentang hampir separuh atau 45.4 peratus daripada pengusaha pertanian individu di negara ini adalah golongan tua yang berusia 60 tahun ke atas melibatkan 458,395 orang, berdasarkan Laporan Interim Banci Pertanian 2024.

Katanya, isu petani menua ini bukan saja cabaran di Malaysia, malah turut dihadapi oleh pelbagai negara.

Jelasnya, kementerian tidak lepas tangan untuk mengatasi situasi tersebut terutama bagi menarik minat golongan belia menceburi bidang pertanian.

Arthur Joseph berkata, pelbagai program turut dianjurkan seperti FAMA Fest untuk membuka peluang pasaran kepada golongan muda memasarkan produk masing-masing.

Program FAMA Fest 2025 Perak yang bermula 29 Mei hingga 2 Jun 2025 merupakan edisi ketujuh dianjurkan di Perak dengan jangkaan menarik seramai 150,000 pengunjung sepanjang lima hari. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN