Kerajaan digesa keluar lesen baharu pembekal elektrik, elak monopoli TNB

Kerajaan digesa keluar lesen baharu pembekal elektrik, elak monopoli TNB

BALLAMURUGAN SINNATHAMBY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa untuk mengeluarkan lesen kepada pembekal elektrik baharu berbanding monopoli sedia ada yang dipegang oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam sektor elektrik Malaysia.

Presiden Persatuan Rangkaian Peniaga Malaysia, Ballamurugan Sinnathamby berkata, kerajaan perlu membenarkan kemasukan pemain baharu ke dalam pasaran bagi menggalakkan persaingan dan penurunan harga serta mewujudkan landskap tenaga yang lebih dinamik.

“Monopoli sedia ada yang dipegang oleh TNB menimbulkan cabaran besar kepada pengguna, perniagaan dan ekonomi secara keseluruhannya.

“Sebagai satu-satunya pembekal elektrik, TNB mengawal harga dan penyampaian perkhidmatan yang membawa kepada ketidakefisienan serta kekurangan persaingan yang akhirnya merugikan pengguna dan perniagaan.

“Ketiadaan persaingan dalam pasaran elektrik memberi kesan tidak seimbang kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang selalunya beroperasi dengan margin keuntungan yang tipis.

“Kenaikan kos elektrik yang didorong oleh monopoli TNB memberikan tekanan kewangan tambahan kepada perniagaan ini, sekali gus mengehadkan keupayaan mereka untuk melabur dalam pertumbuhan, inovasi dan penciptaan pekerjaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ballamurugan berkata, pasaran elektrik terbuka akan membolehkan pengguna serta PKS, memilih pembekal elektrik mereka selain menggalakkan persaingan.

“Sebagai contoh, kajian menunjukkan bahawa negara-negara yang telah meliberalisasikan pasaran elektrik mereka seperti United Kingdom (UK) dan Australia menyaksikan penurunan ketara harga elektrik dan peningkatan kualiti perkhidmatan hasil persaingan.

“Sebaliknya, pengguna di Malaysia kini terpaksa menerima harga yang ditentukan oleh TNB yang telah meningkat kira-kira 20 peratus dalam tempoh lima tahun lalu,” katanya.

Selain itu, katanya, ketiadaan persaingan membolehkan TNB menetapkan harga tanpa perlu bimbang kehilangan pelanggan.

“Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menyatakan bahawa pengenalan pelbagai pembekal boleh menurunkan harga sehingga 30 peratus di pasaran yang kompetitif.

“Dengan membuka pasaran, kita boleh mewujudkan persekitaran di mana pembekal bersaing untuk mendapatkan pelanggan, sekali gus menawarkan kadar yang lebih berpatutan kepada semua rakyat Malaysia, termasuk PKS,” katanya.

Jelasnya, pasaran terbuka sektor itu juga akan menggalakkan inovasi dalam penyelesaian tenaga boleh diperbaharui.

“Seiring peralihan dunia ke arah tenaga lestari, kehadiran pelbagai pembekal dapat mempercepatkan penggunaan sumber tenaga yang lebih bersih. Peralihan ini amat penting bagi Malaysia dalam usaha memenuhi sasaran kelestarian di bawah Perjanjian Paris,” katanya.

Justeru, katanya, sudah tiba masanya untuk Malaysia beralih ke arah pasaran elektrik terbuka yang mengutamakan kuasa pengguna, merancakkan pertumbuhan ekonomi sertat menggalakkan amalan tenaga mampan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN