Kerajaan belum sedia laksana GST - Utusan Malaysia

Kerajaan belum sedia laksana GST

ANWAR Ibrahim beramah mesra bersama pengunjung pada penutup Program MADANI Rakyat 2025 Perak di Lumut Waterfront di Lumut hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kerajaan belum bersedia untuk melaksanakan semula sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ketika ini kerana ekonomi rakyat belum pulih sepenuhnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun GST merupakan sistem percukaian yang dilihat lebih teratur dan menyeluruh, namun pelaksanaannya tidak sesuai pada masa ini kerana membebankan seluruh lapisan masyarakat termasuk golongan miskin.

Menurutnya, jika ekonomi negara pulih sepenuhnya dan gaji minimum sehingga RM4,000 ke atas boleh dilaksanakan, sistem GST boleh dilaksanakan ketika itu.

“Sistem GST ini maknanya cukai terhadap semua (rakyat), walaupun kadarnya rendah tapi semua rakyat kena cukai. Kalau tanya saya, GST memang yang sistem baik, senang sahaja, cukai kepada semua tapi adakah nelayan, pekebun kecil, pekerja bawahan seperti tukang cuci jalan juga harus dikenakan cukai?

“Sebab itu kita kata belum sedia untuk GST, kalau esok ekonomi meningkat katalah gaji minumum RM4,000 ke atas, cukailah GST pun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perasmian penutup Program MADANI Rakyat 2025 Perak di Lumut Waterfront di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Menurut Anwar, kerajaan ketika ini memilih untuk meneruskan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kerana ia lebih bersasar dan hanya mengenakan cukai kepada barangan tertentu, khususnya barangan import mewah.

Beliau berkata, contohnya beberapa barangan import seperti avokado, ikan kod dan buah-buahan yang dikenakan cukai kerana hanya dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi.

“Kita kenakan cukai avokado, ikan kod. Kita cukai barang mahal, orang kaya nak makan, silakan, tapi bayarlah lebih,” katanya.

Anwar menegaskan kutipan cukai bukan untuk membebankan rakyat, tetapi sebagai sumber penting bagi membiayai keperluan asas dan pembangunan negara namun akan memastikan sistem cukai yang dilaksanakan tidak membebankan rakyat.

“Kalau tak cukai, nak ambil wang dari mana nak buat hospital di Manjung? Nak baiki jalan berlubang? Nak bina kapal, beli pesawat pertahanan negara? Semua itu guna duit cukai,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut menempelak tindakan pembangkang yang memainkan isu GST sebagai modal politik tanpa memahami kesannya terhadap rakyat.

“Ahli Parlimen pembangkang kena bagi kursus sikit. Dia nak sedap saja kata GST bagus. Kamu fahamkah apa GST? Perkhidmatan cukai menyeluruh, you tax everybody.

“Pembangkang kata GST efisyen. Saya nak tanya, kalau enam peratus (cukai GST) semua kena bayar, mengapa orang miskin kena bayar? Mengapa orang menganggur pergi makan pun kena bayar?

“Jadi saya minta faham, kita tangguh GST. Pembangkang hanya nak jadikan bahan politik tak tentu arah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN