BERBEKALKAN bajet RM13 juta ringgit, filem adiwira Keluang Man hanya memperoleh kutipan RM3.8 juta selepas 26 hari tayangan. Kenyataan itu sekali gus mengeluarkan Keluang Man daripada senarai filem pecah panggung yang sepatutnya diramal bakal mengubah landskap sinema tempatan tahun ini.
Bagaimanapun, walaupun berbeza seminggu sahaja masa tayangan, filem adiwira animasi tempatan, Ejen Ali 2 menerima nasib berbeza. Dengan bajet RM10 juta, filem francais itu menggondol RM56.4 juta dalam tempoh 33 hari di panggung. Tidak hanya itu, Ejen Ali 2 sedang bersedia menunggu tayangan pertamanya di Indonesia yang sudah dijadualkan Jumaat ini.
Melihat perbandingan situasi ini, Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Hani Salwah Yaakup, berpendapat kejayaan sesebuah filem bergantung kepada seberapa akrab karakter tersebut dengan penonton.
Menurutnya, Keluang Man tidak mendapat sambutan memberangsangkan berikutan pihak produksi, Astro Shaw gagal memperkenalkan semula karakter ini yang sudah pun hilang daripada radar masyarakat sejak tayangan animasi dihentikan pada 2005.
“Penonton hari ini tidak mengenali siapa Keluang Man. Jika ada yang tahu pun mungkin datang daripada generasi yang lahir era 80 atau 90-an. Promosi yang dijalankan lebih awal banyak memberi fokus kepada filem secara keseluruhan, tapi bukan kepada karakter Keluang Man, konteks dan perjalanannya.
“Situasi ini berbeza dengan francais Ejen Ali. Sebelum filem pertamanya dahulu menembusi panggung, sudah ada berpuluh siri animasinya ditayangkan. Kanak-kanak dan ibu bapa sudah kenal siapa Ejen Ali. Perkara ini membuatkan mudah untuk mereka mendapatkan lebih banyak penonton untuk filem kedua.
“Sepatutnya penerbit tayangkan semula animasi Keluang Man atau terbitkan dokumentari khas. Ambil contoh sekarang kita lihat ada banyak usaha bercakap tentang Allahyarham P. Ramlee di rancangan audiosiar atau program. Ini semua untuk mendorong ke arah menghasilkan biopik P. Ramlee,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Dalam pada itu, ulas ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur (MPFKL) itu lagi, Keluang Man bukan sahaja terlepas peluang mempengaruhi penonton generasi muda yang memiliki kuasa beli besar di panggung, malah ceritanya juga dilihat gagal meyakinkan peminat sedia ada animasi tersebut.
“Boleh dikatakan, filem Keluang Man tidak berjaya melakukan proses adaptasi yang memenuhi tanggapan penonton sedia ada dengan baik.
“Karakter dalam filem ini juga berbeza dengan dengan animasi yang pernah ditayangkan contohnya bagi karakter Inspektor Sahab. Sepatutnya dia seorang yang lucu bergandingan dengan seorang wartawan wanita, Kathy.
“Bagaimanapun, perkara ini tidak terjadi dengan Ejen Ali, malah mereka mempunyai kelebihan apabila ramai ibu bapa hanya cenderung membeli tiket wayang untuk puaskan hati anak-anak.
“Manakala bagi penonton Keluang Man yang mungkin sudah berkeluarga sekarang, jarang untuk keluar semata-mata tonton wayang. Lebih banyak cenderung menonton di platform penstriman,” jelasnya.
Sementara itu, walaupun filem Keluang Man gagal memberikan kutipan seperti diharapkan, Hani Salwah mengatakan tidak wajar untuk menggelar ia sebuah filem yang gagal.
“Saya fikir mungkin pengarah ada misi yang lain membuatkan ada beberapa kekurangan. Apapun, Keluang Man bagi saya bukanlah filem yang teruk atau gagal. Kita perlu meraikan usaha pengarah dan juga pembikinnya,” katanya.