KOTA TINGGI: Kementerian Pertahanan tidak terlibat dalam proses pemindahan rakyat Malaysia dari Iran untuk kembali ke tanah air.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hal ini kerana tiada sebarang penerbangan dibenarkan setakat ini ke Iran kerana konflik tersebut manakala bilangan rakyat Malaysia juga tidak ramai di negara konflik itu.
“Mereka akan dibawa keluar dengan menggunakan jalan darat ke negara Turkmenistan sebelum diterbangkan dengan pesawat-pesawat komersial biasa untuk pulang ke negara ini.
“Kita (Kementerian Pertahanan) tidak akan membantu kerana jika kita masuk ke Iran akan dilihat membantu Iran,” katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Perasmian Tuaian Halia Bentong Muda di Kampung Gembut, Tanjung Sedili di sini hari ini.
Semalam, Kementerian Luar berkata, pihaknya kini dalam peringkat akhir memuktamadkan usaha membantu rakyat Malaysia dan ahli keluarga mereka di Iran kembali ke tanah air.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Malaysia akan memindahkan rakyatnya dari Iran pada Jumaat berikutan peningkatan risiko keselamatan ekoran ketegangan semakin memuncak antara kedua-dua negara berkenaan.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, konflik berlaku antara Iran dan Israel jika tidak dibendung akan merebak menjadi perang dunia dan secara tidak langsung memberi kesan terhadap dunia terutama melibatkan aktiviti perdagangan.
“Semua negara akan terjejas kerana tentunya harga minyak akan naik, bekalan-bekalan akan terputus dan perdagangan bebas dunia akan terjejas. Kita tahu negara kita adalah negara dagang, maka akhirnya rakyat juga terjejas,” katanya
Katanya, pihak kementerian akan memantau perkembangan konflik itu serta pada masa sama dapat melihat jenis dan penggunaan teknologi dalam perang tersebut.
“Ini sangat penting dalam kita memastikan kita dapat menyediakan pertahanan negara pada tahap yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN