BESUT: Hampir tujuh jam berlalu, ahli keluarga dan sanak-saudara kepada 13 lagi penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas di Gerik, Perak, masih setia menanti ketibaan jenazah di Masjid Hadhari, di sini untuk disolatkan serta memberi penghormatan terakhir seterusnya dikebumikan.
Sejak pukul 7 malam tadi, mereka mula berkumpul dengan wajah penuh kedukaan menanti jenazah yang dijangka tiba dari Perak sekitar pukul 2.30 pagi ini.
Siti Aisyah Nasir, 47, sepupu kepada ibu Allahyarham Nurly Sahirah Azman, 23, yang maut dalam nahas itu berkata, dia mendapat khabar mengenai kemalangan itu menerusi kumpulan WhatsApp keluarga kira-kira pukul 9.40 pagi semalam.
“Kami cuma tahu dia terlibat dalam kemalangan, tetapi tidak sangka nahas itu meragut nyawanya. Ibu dia hanya tahu keadaan sebenar apabila sampai di Perak sekitar pukul 1 petang semalam,” katanya dengan nada sebak.
Menurutnya, dia mengambil keputusan untuk terus menunggu di masjid berikutan tidak pasti sama ada jenazah dibawa ke rumah terlebih dahulu atau tidak.
“Lagipun, hendak berhubung dengan ibu arwah pun sukar kerana talian tidak jelas,” katanya.
Dalam nada sama, Iza Mahmood, 52, iaitu ibu saudara kepada Nor Ayuni Maslan, 21, berkata, mereka sekeluarga tiba di msjid itu sejak pukul 9.30 malam tadi dari Gong Tinggi, Pasir Puteh, Kelantan.
“Nor Ayuni anak bongsu, ibunya sudah lama meninggal dunia dan bapanya pula bertolak ke Perak pukul 5 pagi semalam untuk urusan pengecaman dan membawa pulang jenazah,” katanya. – UTUSAN