Kelantan lantik anak syarikat CCCC bina KB Sentral

Kelantan lantik anak syarikat CCCC bina KB Sentral

SAIZOL Ismail (kanan) bersama Nik Soh Nik Yaacoub (dua dari kanan) melihat perkembangan kerja di tapak projek menaiktaraf longkang konkrit di Kampung Kota, Kota Bharu, Kelantan hari ini. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan secara rasminya melantik China Harbour Engineering Company (CHEC) sebagai syarikat pelaksana projek pembinaan Terminal Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) yang tertangguh sejak lebih dua tahun.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Saizol Ismail berkata, syarikat tersebut akan menjadi kontraktor utama dalam pembinaan terminal tersebut dan pelantikan dibuat secara rasmi pada minggu lalu.

Menurutnya, CHEC merupakan anak syarikat kepada China Communication and Construction Company (CCCC) yang merupakan syarikat pelaksana pelaksana kepada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Surat pelantikan telah diproses dan CHEC juga telah menyatakan persetujuan. Ia merupakan anak syarikat kepada CCCC, iaitu syarikat yang menjadi pilihan kerajaan negeri setelah beberapa syarikat Bumiputera yang diberikan peluang sebelum ini gagal melaksanakannya.

“Jadi tumpuan kita sekarang ini adalah proses pembinaan terminal bermula bulan depan. Kita mula dengan proses rawatan tanah yang akan mengambil masa sehingga setahun dan jangkaan siap sepenugnya adalah dalam masa dua tahun,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa lawatan ke tapak projek menaiktaraf longkang konkrit di Kampung Kota, di sini hari ini.

Saizol memberitahu, cadangan untuk membina penghubung antara stesen KB Sentral dan ECRL juga masih diteruskan buat masa ini tetapi perlu menunggu sehingga pembinaan kedua-dua bangunan selesai terlebih dahulu.

Media sebelum ini melaporkan, Kerajaan negeri sedia mengambil alih pembinaan Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) sekiranya rundingan dengan Perak Transit gagal mencapai kata putus.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, keputusan itu dibuat kerana kerajaan negeri berdepan kesuntukan masa untuk memastikan KB Sentral dapat beroperasi seperti dijadualkan pada 2027.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN