TANJUNG MALIM: Kelab motosikal berkuasa tinggi, Sukan Permotoran Pelancongan Pengembaraan (ATMS) menyumbang RM25,000 kepada waris 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam nahas di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di Gerik pada 9 Jun lalu.
Presiden ATMS, Muhammad Arashid Ramli berkata, sumbangan itu akan dibahagikan kepada 15 waris iaitu kira-kira RM1,600 bagi setiap satu keluarga.
“Sumbangan ini merangkumi lebih 2,000 ahli ATMS seluruh negara terutama di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Tempoh kutipan selama dua minggu.
“Selain itu, sumbangan ini turut melibatkan kelab motosikal berkuasa tinggi yang lain, sektor korporat dan individu perseorangan,” katanya kepada pemberita di Dewan Kuliah Pusat, UPSI Kampus Sultan Azlan Shah di sini hari ini.
Beliau menyampaikan cek cura bernilai RM25,000 kepada Timbalan Pendaftar Hal Ehwal Pelajar UPSI, Suhaimi Zulkifli pada Program Sesi Serahan Sumbangan ATMS @ Persatuan Amal Tulus Misi Sukarelawan.
Kira-kira 200 ahli kelab itu yang berumur 18 hingga 70 tahun merangkumi lelaki dan wanita hadir pada program tersebut.
Muhammad Arashid berkata, ATMS bersifat pro-aktif menyampaikan bantuan kewangan kepada mangsa bencana dan kemalangan di negara ini termasuk negara jiran.
Ujarnya, itu menunjukkan mereka sama-sama bersimpati dan prihatin terhadap rakyat dan mereka yang ditimpa musibah.
Pada 9 Jun lalu, seramai 15 pelajar UPSI maut apabila bas dinaiki mereka terlibat kemalangan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di Gerik.
Kemalangan berlaku ketika kejadian bas tersebut dalam perjalanan pulang ke UPSI dari Jerteh, Terengganu. – UTUSAN