KUALA LUMPUR: Kedudukan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri tidak terjejas walaupun memutuskan untuk meninggalkan UMNO dan menyertai PKR.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peranan dan tanggungjawab Tengku Zafrul masih diperlukan memandangkan beliau telah menjalankan tugas sebagai menteri dengan baik.
“Tengku Zafrul seorang menteri yang menjalankan tugas dengan sangat baik, pelaburan kita ratusan bilion banyak juga dikendalikan dengan usaha beliau, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), MITI dan kerajaan.
“Sekarang dia memilih untuk memohon (keluar UMNO dan sertai PKR), kita belum bincang apa-apa pun sebab dia menunaikan ibadat haji, jadi biar dulu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan majlis Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Sebelum ini, Tengku Zafrul mengumumkan bahawa beliau menyerahkan kedudukannya dalam Kabinet kepada Perdana Menteri selepas UMNO menuntut agar kuota menteri penuh di dalam Kabinet Persekutuan dikembalikan semula kepada parti itu.
Ia susulan tindakan Tengku Zafrul meletakkan semua jawatan dan keahliannya dalam UMNO untuk menyertai PKR yang mana Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan sudah menerima surat rasmi peletakan jawatan itu.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan semua pihak menghormati keputusan Tengku Zafrul tersebut dan tidak membuat pelbagai tafsiran tidak sihat.
“Tengku Zafrul telah ambil keputusan dan kita hormat keputusan dia tetapi soal jawatan Menteri, tidak terjejas, kita mahu beliau teruskan tugas kerana prestasinya sangat baik dan negara perlukan sumbangannya,” katanya.
Perdana Menteri berkata, berhubung permohonan Tengku Zafrul untuk menyertai PKR, ia masih belum dibincangkan lagi di peringkat parti.
“Bagi pihak Keadilan (PKR), tentulah kita perlu bincang dengan rakan-rakan dan fikir yang sebaiknya,” katanya.-UTUSAN