Keadaan Sheqal semakin positif, oksigen meningkat 99 peratus - Utusan Malaysia

Keadaan Sheqal semakin positif, oksigen meningkat 99 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keadaan penyanyi, Sheqal, 60, yang ditidurkan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan kini menunjukkan perkembangan positif.

Perkara itu dikongsikan isterinya, Normah Mohd. Yusoff 58, yang turut memaklumkan kadar oksigen dalam badan penyanyi itu meningkat ke tahap normal.

“Dia masih belum sedarkan diri tetapi doktor sedang dalam proses untuk bangunkan dia.

“Tapi Alhamdulillah, kadar oksigen dalam badannya yang sebelum ini menurun, kini meningkat kepada 99 peratus.

“Bacaan darah juga kembali normal. Dia buat masa ini masih dibawah pemantauan pihak hospital,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sheqal sejak Khamis lepas ditidurkan di hospital tersebut akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.

Normah sebelum ini memaklumkan tahap oksigen penyanyi itu menurun sehingga 62 peratus sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Dalam pada itu, Normah memaklumkan suaminya itu mungkin mengambil sedikit masa untuk sedarkan diri.

“Doktor maklumkan mungkin suami saya akan sedar dalam satu atau dua hari lagi bergantung kesan ubat yang diberikan kepada beliau,” kongsinya.

Untuk rekod, Sheqal atau Shahrin Salehuddin sebelum ini berdepan dengan masalah kesihatan termasuk diserang angin ahmar sebanyak empat kali sejak 2020.

Penyanyi lagu Cinta Nusantara ini turut menghidap penyakit buah pinggang tahap empat dan kini menggunakan kerusi roda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN