Kastam P.Pinang rampas peranti, cecair vape bernilai RM5.17 juta

Kastam P.Pinang rampas peranti, cecair vape bernilai RM5.17 juta

ROHAIZAD Ali (kanan) menunjukkan peranti serta cecair vape yang dirampas dalam sidang akhbar di Bagan Jermal, Butterworth, Pulau Pinang.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya merampas sebanyak 86,086 unit rokok elektronik dan 996.5 liter cecair vape yang dianggarkan bernilai RM5.17 juta termasuk cukai dalam dua rampasan berasingan, bulan lalu.

Pengarah Kastam negeri, Rohaizad Ali berkata, rampasan itu dibuat susulan pemeriksaan ke atas sebuah kontena dari China di Pelabuhan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini pada 3 April lalu.

Katanya, dalam pemeriksaan itu, pihaknya menjumpai 14,200 unit peranti гокок elektronik dan 210 liter cecair dan gel bagi rokok elektronik yang dipercayai tidak diikrar semasa pengimportan bersama pelbagai barang dagangan lain yang terdapat dalam kontena terbabit.

“Susulan pemeriksaan berkenaan, kita turut menahan dua individu berusia 30-an yang terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan seorang warga China yang mengaku sebagai pengeksport barangan tersebut.

“Nilai sitaan dagangan dianggarkan bernilai RM1,332,500 dengan cukai tidak dibayar sebanyak RM205,400 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sitaan sebanyak RM1,537,900,” katanya kepada pemberita di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal di sini, hari ini.

Sementara itu katanya, dalam serbuan berasingan, sebuah lagi kontena dari China ditahan di Pelabuhan Klang kerana cuba membawa masuk 71,886 unit peranti rokok elektronik dan 786.5 liter cecair dan gel rokok elektronik yang tidak diikrarkan pada 10 April lalu.

Katanya, ketika dijumpai, barangan terbabit diletakkan bercampur dengan pelbagai aksesori lain seperti tali pinggang dan dompet.

“Dua ejen pelabuhan warga tempatan berusia lingkungan 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan kerana membuat ikrar yang tidak betul.

“Cukai yang tidak dibayar bagi kedua-dua barangan itu pula dianggarkan berjumlah RM833,357 menjadikan nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai mencecah RM3,640,701 juta,” katanya yang memberitahu, kedua-dua kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 133 (1)(a) Akta Kastam 1967.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN