Kanak-kanak lapan tahun derita kanser otak

Kanak-kanak lapan tahun derita kanser otak

NORAIN Yaakob (kanan) menguruskan Mikayla Darwisya Amin yang mengidap kanser di Kangar, Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kehidupan ceria seorang kanak-kanak perempuan lapan tahun, Mikayla Darwisya Amin berubah mendadak selepas disahkan menghidap kanser otak tahap empat medulloblastoma, sejak Februari tahun lalu.

Mikayla, murid tahun dua di Sekolah Kebangsaan (SK) Putra mengalami simptom awal seperti langkah kaki tidak stabil dan muntah, sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Kemudian, dia dirujuk ke Hospital Pulau Pinang bagi rawatan lanjut.

Ibunya, Norain Yaakob, 35, berkata, anak kelima daripada enam beradik itu telah menjalani 33 sesi radioterapi dan 13 kimoterapi.

“Namun pada awal Jun lalu, Mikayla mengalami relapse dan dikesan mempunyai sel tumor berukuran tujuh sentimeter (cm).

Dia menjalani pembedahan di HSB, tetapi tumor tidak dapat dibuang sepenuhnya kerana kedudukan hampir dengan saraf penting,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kini, Mikayla masih berada di bawah pemantauan doktor, namun tiada rawatan susulan dapat diberikan di hospital awam.

Mereka disaran mendapatkan pandangan kedua daripada pakar perubatan di fasiliti swasta.

“Kami bercadang membawa Mikayla ke UM Specialist Centre (UMSC) untuk rawatan targeted therapy. Kos rawatan ini dianggarkan antara RM80,000 hingga RM120,000,” katanya.

Norain berkata, mereka juga memerlukan sekitar RM1,000 sebulan untuk kos ulang-alik, susu khas, lampin pakai buang dan perbelanjaan lain.

“Kami tetap berusaha sedaya upaya. Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) turut tampil melihat bentuk bantuan yang boleh diberikan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Muamalat 09010020376722 atas nama Norain Yaakob. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN