KUALA LUMPUR: “Kami tidak jemput pengarah kerana hubungan masih belum baik.”
Demikian kata penebit filem Misteri Fraser 1910, Elani Aidid dan Amai Kamarudin yang sepakat tidak menjemput pengarah naskhah itu, Shuhaimi Zulkefli pada malam gala dan tayangan perdana yang berlangsung malam tadi.
Menurut Elani, tindakan sedemikian dilakukan bagu mengelak sebarang perkara yang tidak diingini berlaku memandangkan hubungan mereka masih lagi tegang ekoran pengguguran nama pengarah itu daripada bahan promosi naskhah berkenaan.
“Seperti yang semua tahu, kes mahkamah masih lagi berjalan. Bagi mengelakkan perkara tidak diingini kami sepakat untuk tidak menjemputnya.
“Kami hanya mengundang mereka yang mempunyai hubungan baik dengan produksi. Jika dilihat malam ini (semalam) ramai dalam kalangan kru yang kami jemput memandangkan kami adalah penganjur,” katanya.
Elani berkongsi perkara itu usai tayangan perdana dan sidang media filem Misteri Fraser 1910 di GSC Midvalley Megamall, malam tadi.
Meskipun empunya badan yang meminta namanya digugurkan, Elani memaklumkan pihaknya sebulat suara mahu mengekalkan nama pengarah tersebut dalam setiap bahan promosi atas dasar profesionalisme.
“Kami masih letakkan nama beliau dalam poster dan bahan promosi lain seperti biasa, walaupun dia ada menghantar dokumen meminta agar namanya tidak digunakan.
“Kami tetap letak namanya kerana menghargai kerja yang sudah dibuat sampai ke akhir penggambaran,” jelasnya.
Elani bagaimanapun enggan mengulas secara terperinci mengenai isu dalaman yang berlaku antara mereka.
Dalam masa sama, penerbit itu memaklumkan pihaknya sudah menyelesaikan segala bayaran ke atas pengarah tersebut sebaik selesai penggambaran.
“Selepas selesai penggambaran, Shuhaimi terus keluar dari kumpulan Whatsapp. Proses suntingan sepenuhnya dijalankan oleh kru lain termasuk kami sendiri.
“Kami cuba menghubunginya, tapi dia kata sibuk dengan penggambaran lain. Segala bayaran sudah diselesaikan seperti dijanjikan,” ujarnya.
Sebelum ini, Millionaire Films Production Sdn Bhd sebagai syarikat produksi filem Misteri Fraser 1910 mendakwa Shuhaimi melanggar kontrak sebagai pengarah naskhah berkenaan dengan membuat tindakan yang menjejaskan hak etika dan moral produksi.
Melalui kenyataan dikeluarkan, pihak produksi mendakwa tindakan Shuhaimi membawa kepada pengguguran namanya daripada jawatan pengarah untuk filem berkenaan.
Naskhah berkisar misteri kehilangan peneroka dari Scotland, Louis James Fraser atau Mr Fraser di Bukit Fraser, Raub, Pahang itu akan ditayangkan di pawagam bermula 26 Jun ini.
Josiah Hogan yang membawakan watak Mr Fraser turut bergandingan dengan barisan pelakon lain seperti Siti Hariesa, Isyariana, Erry Putra, Datuk Rahim Razali dan A Galak.-UTUSAN










