Kaji impak SST terhadap industri getah tempatan

Kaji impak SST terhadap industri getah tempatan

JOHARI Abdul Ghani ketika sidang media selepas melancarkan Dana Hubungan Industri 2.0 (ILF 2.0) di Hotel InterContinental. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sedang mendapatkan maklum balas terperinci daripada pemain industri getah tempatan mengenai pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak lima peratus.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu penting bagi memastikan impak cukai tersebut dinilai secara menyeluruh sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

“Saya sedang mengumpul maklumat daripada pemain industri. Sebaik sahaja maklumat itu diperoleh, kita akan menilai kesannya dan saya akan bawa perkara ini kepada Perdana Menteri untuk pertimbangan selanjutnya.

“Buat masa ini, saya juga telah arahkan agensi berkaitan untuk mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri bagi memahami isu ini secara lebih menyeluruh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Dana Hubungan Industri 2.0 (ILF 2.0) di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia yang menyeru kerajaan menangguhkan pelaksanaan cukai lima peratus ke atas bahan mentah lateks getah asli (NR) dan lateks getah nitril butadiena (NBR) yang disenaraikan di bawah perintah terkini P.U.(A) 170/2025.

Mengenai inisiatif ILF 2.0 yang dilancarkan Majlis Getah Malaysia (MRC), Johari berkata, ia merupakan inisiatif strategik untuk memperkukuh industri getah Malaysia melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kerjasama antara industri dan akademia.

Katanya, ILF 2.0 bertujuan menangani cabaran dalam inovasi teknologi bagi produk dan proses pengeluaran berkaitan getah baharu atau yang telah ditambah baik dengan penekanan terhadap aktiviti prapengkomersialan. 

“ILF 2.0 dapat memainkan peranan sebagai pemacu untuk membawa hasil penyelidikan ke pasaran, menghubungkan industri dengan intelek serta melahirkan penyelesaian yang boleh mengubah struktur industri getah.

“Versi baharu ini lebih bersasar dan lebih strategik menumpukan kepada pembangunan produk getah bernilai tinggi, amalan pengeluaran yang mampan serta prapengkomersialan yang agresif,” katanya.

Menurut beliau, MRC turut memperkenalkan penambahbaikan terkini Dana Automasi dan Teknologi Hijau (FAGT) untuk menyokong transformasi digital dan automasi dalam sektor getah.

Katanya, langkah itu amat bertepatan dengan cabaran industri semasa yang menuntut peralihan ke arah teknologi hijau, mampan dan berasaskan data.

“Industri yang tidak beralih kepada automasi dan tidak menghijaukan operasinya bukan sahaja akan ketinggalan, malah disisih oleh pasaran global yang semakin beretika dan berprinsip.

“Kita tidak boleh lagi beroperasi seperti dahulu dan mengharapkan hasil yang berbeza. Transformasi industri adalah keperluan mutlak jika kita mahu kekal kompetitif di peringkat antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN