PETALING JAYA: Kerajaan bersetuju melaraskan kadar insentif pembajakan daripada RM100 kepada RM160 per hektar setiap musim, manakala insentif penuaian baharu turut diperkenalkan sebanyak RM50 per hektar bagi pesawah di seluruh negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) Bilangan 1 Tahun 2025 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Jun lalu.
“Kerajaan akan memastikan pembayaran insentif ini selesai sepenuhnya sebelum 31 Julai ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, pelbagai inisiatif turut dibincangkan termasuk strategi meningkatkan kadar sara diri (SSR) daging lembu dan kerbau bagi menjamin kemampanan bekalan makanan negara.
Menurutnya, kerajaan juga menyambut baik pembangunan Malaysian Food Composition Database (MyFCD) sebagai komponen penting dalam Dasar Keterjaminan Makanan Negara.
“Kerajaan turut bersetuju secara prinsip untuk meneroka strategi berkesan mengurangkan kebergantungan import jagung bijian demi kelangsungan serta pertumbuhan industri makanan negara,” katanya.
Tambahnya, cadangan pindaan terhadap Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 (Akta 634) akan dilaksanakan bagi memberikan perlindungan lebih komprehensif terhadap varieti tumbuhan baharu.
Katanya,, kerajaan akan terus memperkasa dasar berkaitan sektor pertanian berdasarkan hasil dapatan Laporan Interim Banci Pertanian 2024.
“Bagi usaha memodenkan sektor pertanian, Kementerian akan memperkukuhkan kerjasama strategik bersama Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerusi pengenalan silibus baharu Remote Pilot Certificate of Competency – Agriculture Light (RCoC-AL) untuk pengendali persendirian dron atau Unmanned Aircraft System (UAS).
“Kita komited melakar dasar dan inisiatif progresif demi masa depan pertanian negara yang lebih lestari dan terjamin,” katanya. – UTUSAN