K-Clique bukan penyanyi rap seludup dadah di Laos - Utusan Malaysia

K-Clique bukan penyanyi rap seludup dadah di Laos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Anggota kumpulan K-Clique, Noki, 31, menafikan ahli kumpulan itu terlibat dengan kes penyeludupan 86 kilogram dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay, Laos, baru-baru ini.

Noki atau Ahmad Ikhwan Aji berkata, kesemua ahli kumpulan itu termasuk MK, SoMean, KDeaf, FareedPF, Gnello dan NastyNa kini berada di Malaysia dan sedang sibuk dengan pekerjaan masing-masing di Sabah.

“Semua ahli kumpulan K-Clique sekarang berada di Malaysia, jadi penyanyi rap yang dimaksudkan itu bukan kami.

“Saya ada Kuala Lumpur sementara ahli yang lain kini di Sabah. Saya pun tidak gembira dengan berita ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan seorang penyanyi yang juga ahli kumpulan rap tempatan ditahan oleh pihak berkuasa Laos selepas disyaki cuba menyeludup dadah.

Penyanyi tersebut merupakan salah seorang daripada tiga individu yang ditahan dalam satu operasi melibatkan pegawai kastam, penguatkuasa lapangan terbang dan agensi berkaitan lain.

Hasil pemeriksaan terhadap enam beg milik suspek, pihak berkuasa menemui 103 bungkusan ganja yang disembunyikan di dalam bagasi mereka, dengan jumlah keseluruhan kira-kira 86 kilogram.

Difahamkan, suspek sedang bersiap sedia untuk menaiki penerbangan Thai Airways menuju ke Jerman, di mana dadah tersebut dipercayai akan dihantar.

Pihak berkuasa mengesahkan bahawa ketiga-tiga suspek kini ditahan dan akan didakwa mengikut prosedur undang-undang Laos dengan siasatan masih diteruskan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN