Jurutera rugi RM1.5 juta ditipu skim pelaburan tak wujud

Jurutera rugi RM1.5 juta ditipu skim pelaburan tak wujud

ditipu
SEORANG jurutera kerugian sebanyak RM1.5 juta selepas mendakwa ditipu oleh satu skim pelaburan dalam talian yang tidak wujud.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Seorang jurutera kerugian sebanyak RM1.5 juta selepas mendakwa ditipu oleh satu skim pelaburan dalam talian yang tidak wujud.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, mangsa yang bekerja di sebuah syarikat di negara Asia Barat itu telah membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut, semalam.

Katanya, kejadian itu berlaku pada November tahun lalu apabila mangsa yang berusia 40 tahun dikatakan telah berkenalan dan menjalin hubungan cinta dengan seorang wanita melalui panggilan telefon.

“Wanita tersebut (suspek) kemudian mengajak mangsa menyertai satu skim pelaburan iaitu GoldenCrimson yang menawarkan beberapa pakej dengan pulangan bergantung kepada pakej yang dipilih oleh mangsa.

“Mangsa yang berminat untuk melabur seterusnya telah diberikan nombor khidmat pelanggan serta pautan laman web site.goldencrimson.com untuk mendaftar,” katanya di sini, hari ini.

Hamzah berkata, mangsa mula melabur dengan jumlah RM90,510 dan menerima pulangan sebanyak RM108,611 pada peringkat permulaannya.

“Percaya bahawa pelaburan yang dibuatnya menguntungkan, mangsa kemudian membuat sebanyak 103 transaksi pindahan wang ke 31 akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.5 juta iaitu antara tempoh 2 Disember lalu hingga 8 Mac tahun ini.

“Bagaimanapun, mangsa mula menyedari bahawa dirinya telah ditipu apabila gagal mengeluarkan keuntungan pelaburan berjumlah RM4.1 juta melalui aplikasi tersebut.

“Malah, mangsa turut diminta pula untuk membuat sumbangan modal tambahan bagi membolehkan pengeluaran keuntungan yang telah diperoleh itu dilakukan,” katanya.

Tambah Hamzah, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN