Jurutera bebas tidak mengaku samun RM167,900

Jurutera bebas tidak mengaku samun RM167,900

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KUALA LUMPUR: Seorang jurutera bebas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyamun wang tunai RM167,900 milik seorang lelaki warga China, bulan lalu.

Tertuduh, Ng Cheng Teck, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zaki Mohd. Salleh.

Mengikut pertuduhan, Cheng Teck didakwa menyamun wang tunai RM167,900 milik Xu Dongbin pada pukul 8.30 malam, 21 Mei lalu di Jalan Perak, di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Revindejit Kaur tidak menawarkan sebarang jaminan namun menyerahkan kepada budi bicara mahkamah untuk menetapkan jumlah sekiranya ingin memberikan jamin terhadap tertuduh.

Peguam, Mohd. Anif Rafih, yang mewakili Cheng Teck merayu agar mahkamah mengenakan ikat jamin minimum atas alasan anak guamnya merupakan pencari nafkah tunggal keluarga.

Menurutnya, tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak, dengan tiga daripadanya masih masih bersekolah.

“Anak guam saya bekerja sebagai jurutera bebas dengan pendapatan sekitar RM4,000 sebulan manakala isterinya tidak bekerja.

“Semasa tangkapan dibuat, tertuduh mengalami kecederaan akibat terjatuh di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan kini bergantung kepada tongkat untuk berjalan.

“Beliau telah menerima rawatan semasa dalam tahanan dan tiada risiko melarikan diri. Justeru, kami mohon jaminan minimum dan aku janji tertuduh akan hadir setiap kali perbicaraan,” kata peguam itu.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran dua kali sebulan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN