SHAH ALAM: Persaingan lapan minggu Big Stage Alpha menemui titik kemuncak dengan peserta, Ariel Fesol dimahkotakan juara pada pentas akhir yang berlangsung malam tadi.
Ariel atau nama sebenarnya Muhamad Fhazrill Fesol selesa di kedudukan teratas mengenepikan enam pencabar lain sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 dan trofi.
”Saya tunggu momen ini 16 tahun, saya sertai bermacam-macam pertandingan semua tak menjadi.
”Impian saya nak bentuk rock band, tapi Allah lebih mengetahui dan hadiahkan saya sebuah boy band,” katanya.
Naib Juara pula ditentukan milik Ray-D yang membawa pulang RM20,000 berserta trofi.
Rizal Rasid sementara itu berpuas hati di tempat ketiga dengan membawa pulang RM10,000 dan trofi.
Dalam pada itu, Daniel Sher, Araff dan Izat Ibrahim yang mengisi tempat ke empat, lima dan enam masing-masing pulang dengan RM5,000 berserta trofi.
Afiq Sky tidak pulang tangan kosong apabila menduduki tempat ketujuh, membawa pulang RM3,000 dan trofi.
Tujuh peserta pentas akhir bagaimanapun tidak pulang hampa apabila kesemuanya terpilih menganggotai kumpulan yang dibentuk menerusi program realiti tersebut iaitu Alpha.
Konsert malam tadi juga menyaksikan buat pertama kalinya single sulung Alpha bertajuk Monalisa dipersembahkan secara langsung.
Pentas akhir yang berlangsung di Shah Alam Royal Theatre dihoskan pengacara duo sensasi Rina Nose dan Elly Mazlein.
Program hiburan popular itu dijurikan Datuk Syafinaz Selamat, Edry Abdul Halim, Hael Husaini sebagai juri tetap sementara penyanyi, Marsha Milan sebagai juri jemputan.- UTUSAN