KUALA PILAH: Pucuk dicita, ulam mendatang. Sepasang suami isteri yang mengusahakan kuih tradisional, apam Johol kini menerima tempahan sehingga 1,000 biji sehari.
Lebih membanggakan, pasangan itu kini menjadi pembekal tetap kepada beberapa hotel serta kafe dari dalam dan luar Negeri Sembilan.
Salmah Ismail, 66, berkata, pada mulanya dia dan dan suami, Amran Hitam, 62, memulakan perniagaan itu untuk mengisi masa lapang selepas berhenti kerja pada 2003.
“Kami mula serius dalam penghasilan apam Johol pada 2011 selepas menerima sambutan menggalakkan daripada jiran tetangga dan saudara-mara.
“Dulu, saya selalu membawa apam Johol ini ke kenduri-kendara. Tak sangka sejak dari itu ramai pula yang minta saya buatkan. Dulu kami menerima tempahan hanya 100 biji, sekarang boleh mencecah 1,000 biji sehari,” katanya ketika ditemui di Kampung Balai Panjang Nuri di sini.
Tambah Salmah, dia menggunakan resipi turun-temurun ibunya dengan mengekalkan cara pembuatan tradisional termasuk penggunaan daun rambai sebagai pembalut yang menjadi simbol identiti kuih warisan pekan Johol itu.
Amran berkata, pemilihan daun yang betul akan memberikan kesan kepada rasa dan tekstur apam Johol.
“Semua tempahan diterima hasil jaringan keluarga dan kenalan rapat tanpa sebarang promosi di media sosial.
“Kami tidak pernah iklankan di mana-mana media sosial. Semuanya atas permintaan mulut ke mulut. Kami pernah juga menerima tempahan dari Kuching, Sarawak,” katanya. – UTUSAN