BESUT: “Jenazah arwah seperti sedang tidur dan hanya mengalami luka ringan di bahagian muka.” Demikian kongsi Ruslinan Abd. Razak iaitu ibu kepada Muhammad Adib Hazim Halim, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam nahas di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Jeli-Gerik, Perak, semalam.
Ruslinan, 55, berkata, anak keenam daripada tujuh beradik itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital selepas kemalangan tersebut.
“Alhamdulillah. Urusan pengebumian arwah berjalan lancar. Arwah anak yang baik dan seorang yang ceria selain disenangi orang sekeliling,” katanya ketika ditemui selepas urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Kampung Pasir Badak, Hulu Besut di sini, awal pagi ini.
Menurut Ruslinan, anak kesayangannya itu seorang yang gemar membaca al-Quran dan setiap malam selepas solat Maghrib menjadi rutinnya membaca surah Yasin dan al-Mulk.
Katanya, sempena sambutan hari lahirnya pada Sabtu lalu, Muhammad Adib. Hazim menghantar pesanan WhatsApp yang menyentuh hatinya.
“Sebelum tu dia ada hantar mesej kata-kata khusus kepada saya supaya terus kuat, kata-kata yang berbunyi ‘istimewa untuk ibu, terus kuat‘. Saya hairan mengapa dia cakap seperti itu. Mungkin ia petanda dia mahu ‘pergi’ selamanya,” katanya. – UTUSAN