IPOH: Semua 13 jenazah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam nahas di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik–Jeli berhampiran Tasik Banding, dihantar pulang ke Terengganu malam ini.
Kesemua jenazah dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini kira-kira pukul 8.55 malam.
Difahamkan, jenazah akan disembahyangkan di Masjid Hadhari, Jerteh, Besut, Terengganu sebelum dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing untuk dikebumikan.
Konvoi van jenazah itu bergerak serentak dari HRPB dengan diiringi beberapa kenderaan polis melalui laluan Ipoh–Gerik–Jeli–Tanah Merah–Machang sebelum tiba di Jerteh.
Perjalanan dijangka mengambil masa kira-kira lima jam setengah dan dijangka tiba di masjid tersebut sekitar pukul 2 pagi.
Masjid Hadhari merupakan lokasi pertemuan para pelajar sebelum mereka menaiki bas untuk pulang ke UPSI di Tanjung Malim selepas cuti Hari Raya Aidiladha, kira-kira pukul 9 malam, semalam.
Terdahulu, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin memaklumkan bahawa proses bedah siasat terhadap kesemua 13 jenazah selesai sekitar pukul 6.15 petang tadi.
Sementara itu, dua lagi jenazah yang turut terlibat dalam kemalangan tersebut telah dibedah siasat di Hospital Gerik dan dihantar pulang ke kampung masing-masing petang tadi.
Dalam nahas yang berlaku sekitar pukul 1 pagi tadi, seramai 15 orang disahkan maut apabila sebuah bas ekspres yang membawa pelajar UPSI bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di Kilometer 53 JRTB Gerik–Jeli.
Selain 15 yang terkorban, seramai 27 pelajar turut cedera, termasuk pemandu dan kelindan bas terbabit.
Turut cedera dalam kemalangan itu ialah empat sekeluarga yang menaiki MPV tersebut iaitu sepasang suami isteri masing-masing berusia 37 dan 36 tahun serta dua anak mereka berumur tiga dan enam tahun. – UTUSAN