Jatuhkan saya? Sudah saya rasai dahulu - Rina Nose - Utusan Malaysia

Jatuhkan saya? Sudah saya rasai dahulu – Rina Nose

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“JADI, Rina Nose ini sejak dari awal memang pandai berjenakalah ya? Suka bikin orang ketawa.”

Pertanyaan bersahaja itu sengaja dilayangkan kepada selebriti serba boleh kelahiran Indonesia ini sebagai pemecah bicara usai sesi fotografi bersama Pancaindera berlangsung di studio Media Mulia tempoh hari.

Tanpa disangka, pertanyaan itu kemudiannya disahut dengan nada spontan oleh Rina yang selama bercanda tanda selesa dengan momen yang kami nikmati petang hari itu.

“Rasanya sejak dari dalam kandungan ibuku lagi memang sudah tahu mahu masuk bidang ini. Nak tahu? Masa kecil saya lahir tidak menangis, tetapi terus boleh menyanyi dan berjenaka,” selorohnya.

Ada-ada sahaja butir bicaranya. Tetapi apa pun itu, semuanya membuktikan bahawa Rina bukanlah seorang selebriti atau artis yang bersikap sombong meski kerjayanya kini sedang memuncak di Indonesia mahupun di Malaysia.

Mengajaknya berbual mengenai kanvas seni yang telah dilakar sejak 20 tahun lalu, perjalanan itu baginya sudah tentu bukan sesuatu yang mudah.

Bagi Rina atau nama sebenarnya Nurina Permata Puteri, hakikat seorang anak seni, mana mungkin boleh berjauhan dengan onak dan duri.

Malah, di sebalik kegemilangannya sebagai seorang pelawak, pengacara, penyanyi dan pelakon, Rina juga mengakui setiap tugas yang dilakukan mempunyai cabaran tersendiri.

“Pastilah tidak mudah. Tetapi bukan kerja macam ini sahaja yang berat, orang yang bekerja di pejabat pun mesti ada cabaran dan tekanannya.

“Kalau ada hal yang susah atau sesuatu halangan berlaku, tetap kita kena teruskan. Macam tugas saya ini, saya anggap diri sebagai seorang seniman. Pernah saya ditanya, saya ini ke arah mana? Pelawak, penyanyi atau pengacara.

“Saya tak ada jawapan spesifik untuk itu kerana semua pun saya boleh lakukan. Apa sahaja berkaitan seni, itu jiwa saya. Mahu sebut apa sekali pun, itu semua adalah seni, jadi sebab itu saya selesa dianggap sebagai seorang seniman,”katanya.

Kongsi wanita berusia 41 tahun ini, dia juga masih ingat bagaimana kerjaya seni yang didakapnya kini merupakan hasil manifestasi atau afirmasi daripada apa yang pernah dibuatnya sejak kecil.

Kata Rina, sewaktu kecil, dia pernah membayangkan dirinya berada di pentas besar, menghiburkan penonton sambil menyanyi dan berbicara.

“Sebenarnya, dari dahulu sudah saya bayangkan diri ini begitu. Tak pernah tahu jika ia disebut sebagai afirmasi, manifestasi atau law of attraction kata orang. Hanya ketika dewasa baharulah kita tahu apa makna semua itu.

“Namun iya, semua ini pernah saya bayangkan sejak dahulu. Angan-angan yang kini menjadi kenyataan tetapi segalanya bersulam keyakinan.

“Mungkin hal ini boleh terjadi kepada semua orang atau mungkin juga tidak. Tetapi tidak salah jika kita tanamkan dalam jiwa dan hati bahawa sesuatu yang kita inginkan tidak sekadar satu perkara yang dianggap mustahil untuk berlaku,” katanya.

Terpaksa ‘sembunyikan’ rasa

Di balik tawa dan sikap ceria yang sering dipamerkan Rina, tersembunyi satu kenyataan yang jarang disedari ramai bahawa seorang seniman juga manusia yang tidak terkecuali daripada tekanan dan kesedihan.

Namun, meskipun dihimpit rasa lelah dan emosi yang bersimpang siur, Rina tetap tabah menggalas tanggungjawabnya untuk terus menghiburkan penonton dan peminat.

“Sebagai seniman, menghiburkan orang adalah tanggungjawab yang tidak boleh diketepikan, walau diri sendiri sedang bergelut dengan emosi. Orang tidak tahu pun kita ini sedang alami apa sahaja emosi, mungkin sedih, stres, atau ada masalah kita sendiri.

“Namun, kalau ditanya macam mana cara saya hendak tutupi segalanya, saya sendiri tidak tahu dan tidak ada jawapan.

“Segalanya terjadi kerana atas dasar tanggungjawab. Realitinya kita harus kerjakan apa yang sahaja tugasan kita saat itu walaupun mungkin keadaan kita tidak baik waktu itu.

“Hakikatnya lagi, masalah tetap akan ada. Kalau tak ada, tipu sangatlah itu,”ujarnya.

Berhati-hati

Sepanjang dua dekad membina kerjaya sebagai anak seni, bintang kelahiran Bandung, Indonesia ini juga mengakui dia sudah masak dengan segala asam garam dunia hiburan yang baginya cukup membuatkan dirinya lebih berhati-hati.

Pengalaman lalu mengajarnya, tidak semua orang yang hadir membawa niat yang baik.

“Kalau ditanya mengenai pengalaman pahit, ya masa awal-awal memang ada. Ada yang cuba menjatuhkan terutama di fasa sebelum saya muncul di kaca TV.

“Mungkin kerana ketika itu terlalu ramai, masing-masing berlumba untuk menjadi seseorang dalam industri seni,”akuinya.

Kongsi Rina lagi, pengalaman seperti itu kemudiannya membuatkan dirinya lebih matang menilai situasi dan kini dia juga mengakui lebih selesa berada dalam kelompok kecil atau ‘small circle’ demi ketenangan jiwa dan kestabilan emosi.

“Saya akui sejak 10 tahun kebelakangan ini telah menarik diri dari banyak teman, supaya tak ada masalah. Kalau terlalu banyak teman, nanti akan ada masalah-masalah baharu,”katanya.

Bagi Rina, tindakannya itu bukan kerana membenci semua manusia, tetapi sebagai seorang individu yang telah lama menelan asam garam, dia berhak mengutamakan kesihatan mental dan emosinya sendiri.

Bagaimanapun, kata Rina, dia mencuba untuk bersangka baik dengan meramalkan keadaan negatif seperti yang pernah dialaminya dahulu kini tidak lagi wujud di gelanggang seni.

“Saya rasa semua (artis dan selebriti) sudah mempunyai kesempatan yang banyak di ruangan seni yang lebih meluas. Masing-masing pun sudah ada platform sendiri contohnya di media sosial.

“Kalau dahulu mungkin kita tak ada banyak peluang jadi persaingannya lebih sengit. Dulu, kalau apa-apa perlu uji bakat dahulu dan bukan senang hendak dapat peluang muncul di televisyen,”ujarnya.

Peluang di Malaysia

Dalam perkembangan lain, Rina juga meluahkan rasa bangga dan bersyukur kerana bakatnya turut diterima baik di negara ini menerusi pembabitannya dalam menjayakan program besar seperti Big Stage (untuk dua musim) serta The Hardest Singing Show terbitan Astro.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai perbezaan cara kerja antara produksi di Indonesia dan Malaysia, Rina lebih suka melihat kedua-duanya mempunyai nilai tambah tersendiri.

“Di Indonesia, setiap hari ada program TV secara langsung. Ada program pagi, siang dan malam, setiap hari. Dulu, saya pernah terlibat dengan program Akademi Dangdut Asia. Acara itu berlangsung setiap hari, dari Isnin sampai Ahad, tanpa henti.

“Setiap hari kami perlu buat persembahan selama lima jam. Bayangkan, selama empat hingga lima tahun juga. Memang penat, tapi jadi terbiasa dengan jadual macam tu.

“Kalau di Malaysia, saya rasa semuanya lebih tersusun dan lebih well-prepared. Di sini, biasanya hanya ada satu program besar setiap minggu. Jadi, ada banyak masa untuk berehat, banyak masa buat persiapan, dan fikirkan idea-idea kreatif.

“Bila naik ke pentas itu, hasilnya memang boom, sebab semua sudah dirancang baik. Jika di Indonesia, disebabkan program itu live setiap hari, ia umpama latihan kita setiap hari dalam waktu yang sama kita live. Itu pun menjadikan saya sudah terbiasa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN