KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memberi amaran setiap perbelanjaan kerajaan mesti dikawal rapi dan tidak disalahgunakan oleh menteri atau ahli Parlimen untuk tujuan memancing undi sehingga menyebabkan hutang negara bertambah.
Baginda bertitah, pegawai- pegawai kerajaan pula harus memastikan setiap keputusan dibuat mengikut syarat dan peraturan, bukannya mengikut telunjuk orang politik.
Bertitah pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 di Istana Negara sempena Hari Keputeraan Rasmi semalam, baginda mengingatkan, dana awam tidak boleh diguna sesuka hati oleh mana-mana pihak terutama menteri atau ahli Parlimen.
Seri Paduka menegaskan, penjawat awam perlu kekal bebas daripada pengaruh mana-mana parti politik, bersikap berkecuali dan mengutamakan kepentingan negara dan rakyat.
“Semua agensi penguat kuasa mesti berani dan jalankan tugas dengan penuh integriti. Jangan sampai rakyat hilang kepercayaan dan tidak hormat kepada uniform yang dipakai,” titah Sultan Ibrahim.
Baginda turut menyeru penjawat awam memberikan per-khidmatan cemerlang sebagai hadiah kepada Seri Paduka dengan menjunjung prinsip Rukun Negara kedua iaitu Kesetiaan kepada raja dan negara.
“Kesetiaan tidak bermaksud menyembah raja, sebaliknya membawa makna kejujuran dan amanah dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan demi kepentingan negara dan rakyat.
“Kesetiaan bukan maksud menyembah, tetapi jujur dan amanah dalam memikul tugas dan tanggungjawab yang diberikan serta tidak mengkhianati negara dan amanah rakyat,” titah Seri Paduka.
Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam Titah Diraja pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bagi 2025 bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara. Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta barisan Menteri Kabinet turut hadir pada istiadat itu.
Sultan Ibrahim turut mengingatkan pemimpin supaya tidak bermain politik membabitkan isu sensitif yang boleh mencetuskan perbalahan dan menggugat kestabilan negara malah sebarang keputusan perlu dibuat dengan menggunakan akal dan mengambil kira kesan terhadap rakyat dan negara.
“Suka saya ingatkan kepada para pemimpin masyarakat supaya tidak bermain politik atas isu sensitif, yang akan menimbulkan perbalahan dalam masyarakat dan menggugat kestabilan negara,” titah Seri Paduka.
Seri Paduka turut menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan parti politik baharu dan kem-kem dalam parti sedia ada, yang akan membawa kepada perpecahan dan budaya benci-membenci dalam kalangan rakyat.
“Apabila wujud lagi banyak parti politik atau kem dalam parti, maka rakyat akan lebih berpecah-belah dan benci-membenci di antara satu sama lain. Gunakanlah akal sebelum buat sebarang keputusan,” titah Sultan Ibrahim.
Baginda bertitah, tiada hadiah lebih bermakna buat dirinya selain daripada melihat rakyat bersatu-padu.
“Saya pernah sebutkan dulu, ada satu virus yang akan melanda negara kita. Sekarang kita nampak virus ini telah mula menular dan tidak boleh diubati. (Awak fikirlah apa virusnya),” titah Seri Paduka.
Baginda menyeru seluruh rakyat menghadiahkan perpaduan yang kukuh dan berkekalan kepada Seri Paduka sebagai tanda kasih dan taat setia.
Sultan Ibrahim turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang merupakan bukti nyata kemampuan kepimpinan negara dalam memainkan peranan aktif di peringkat serantau dan antarabangsa.
Seramai 116 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda. – UTUSAN










