PETALING JAYA: “Kami berharap kejayaan kami membangunkan perniagaan ini memberi inspirasi kepada mereka yang sedang berusaha membangunkan jenama sendiri.”
Demikian kata pelakon, Reen Rahim selepas terharu apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perniagaan Cemerlang Tahunan 2025 sempena Anugerah Personaliti Industri dan Usahawan Malaysia 2025 yang berlangsung baru-baru ini.
Reen yang kini bergelar usahawan menerusi jenama Reen Rahim Hygiene Wash berkata, dia dan suami, Hazim Zainal memulakan perniagaan dari bawah dan tidak pernah berhenti berusaha membangunkan jenama produk penjagaan diri itu walaupun ada cabaran tersendiri.
“Kami sangat terharu dan bersyukur apabila terpilih menerima anugerah yang cukup berprestij ini. Trofi ini ibarat penguat semangat dan batu loncatan untuk kami tidak berputus asa dalam membantu masyarakat menerusi Reen Rahim Hygiene Wash.
“Kami juga berharap, kami dapat memberi inspirasi dan impak kepada masyarakat di luar sana untuk terus berusaha merealisasikan impian masing-masing. Kita semua bermula dari bawah dan bergerak terus.
“Saya tidak pandai bagi nasihat tetapi, tiada yang mustahil dalam hidup selagi kita berusaha dan berdoa kepada Tuhan. Jangan pernah abaikan impian anda. Teruskan bermimpi dan berdoa supaya dimakbulkan,” katanya.
Dalam majlis sama, Reen turut menerima Anugerah Aktres Paling Dikagumi Malaysia 2025 yang disifatkan sebagai penghargaan pertama sepanjang lebih 15 tahun mengabdikan diri dalam dunia seni.
Sementara itu, Hazim berkata, kejayaan itu membuatkan mereka lebih berjiwa hamba dan percaya dengan doa serta restu ibu bapa, setiap apa yang dirancang akan dipermudahkan.
“Kami ini kerdil dalam dunia perniagaan tetapi dengan restu dan doa ibu bapa, akhirnya perniagaan kami membuahkan hasil. Tanpa mereka, tanpa reda Allah, kami mungkin telah berputus asa.
“Kalau ada yang tanya apa tips kejayaan, jangan lawan cakap isteri,” selorohnya.
Terdahulu, Reen turut berkongsi momen dirinya bersama suami menghadiri majlis Anugerah Personaliti Industri dan Usahawan Malaysia 2025 anjuran NiagaTimes kali kesembilan.
Untuk rekod, Reen dan Hazim mendirikan rumah tangga pada 24 Disember 2022.-UTUSAN