KUALA LUMPUR: “Jangan kecam orang tanpa bukti takut jadi dosa jariah.”
Demikian respons netizen di media sosial apabila ada pihak mengaitkan kes amang seksual membabitkan artis yang tular baru-baru ini dengan penyanyi dan pelakon, Naim Daniel.
Ada dalam kalangan netizen yang cepat membuat telahan meskipun gerangan artis yang diperkatakan itu masih samar-samar.
“Guys, janganlah fitnah dia (Naim). Kita tak tahu siapa, jadi lebih baik diam.
“Lagi pun statement baru keluar dari Caprice tak akanlah sudah mula percaya,” tulis seorang netizen di media sosial.
Penyanyi dan pempengaruh Caprice menerusi media sosialnya baru-baru ini mendedahkan polis menahan seorang penyanyi dan pelakon popular yang didakwa melakukan amang seksual ke atas seorang remaja bawah umur.
Ramai pengguna media sosial yang mengaitkan kes tersebut dengan Naim susulan pendedahan tersebut.
Dalam pada itu, Naim tidak memberikan sebarang respons kepada Utusan Malaysia apabila diminta mengulas mengenai hal tersebut.