MENJADI selebriti media sosial menciptakan persona dan sensasi yang tersendiri. Hanya dengan satu video, seseorang boleh menjana pendapatan sehingga ribuan ringgit. Belum lagi tawaran diundang ke luar negara atau berkolaborasi dengan produk berjenama besar.
Melihat kepada jalan yang dianggap lebih mudah untuk mendapat wang, tidak hairanlah sekiranya semakin ramai generasi muda beranggapan belajar di universiti sebagai membuang masa. Kaya lambat, malah perlu membayar hutang pengajian pula.
Jika menjadi selebriti media sosial, tinggal dapatkan likes dan view berjuta sahaja. Cara baik atau tidak, itu pilihan kedua. Apa yang penting, ada yang mahu bayar mereka dengan harga setimpal.
Pelakon dan pengacara, Hawa Rizwana, sedih dengan pandangan begitu lebih-lebih lagi ia disuarakan oleh generasi muda yang bakal memimpin negara suatu masa nanti.
“Saya sedih bila ada berpendapat kita tidak perlu sambung belajar. Belajar ini bukan untuk kejar A atau kerja sahaja, tapi juga untuk menjadikan kita lebih manusiawi. Dengan ilmu, ia membuatkan kita layan orang lebih baik.
“Saya faham, ada orang mampu ke universiti namun ada juga sebaliknya. Sayang kepada yang enggan ke universiti walau berkemampuan.
“Anda boleh sahaja menjadi pempengaruh media sosial tapi yang berilmu. Ramai kawan saya belajar bidang pergigian buat kandungan media sosial tentang itu. Begitu juga fesyen, janganlah tidak mahu belajar langsung,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Tambah penerima ijazah sarjana muda dalam bidang Kewartawanan Universiti Teknologi Mara itu, tidak wajar untuk mana-mana individu memperkecilkan sebarang bidang ilmu secara membuta tuli.
“Apa sahaja bidang ilmu walaupun komunikasi, tidak wajar diperlekehkan. Komunikasi adalah asas dalam kehidupan harian. Raikan sahaja minat mereka tanpa perlu merendahkan pilihannya.
“Asalnya dahulu saya mahu kerja dalam bidang fesyen, tapi ayah cadangkan terjun ke dalam bidang kewartawan sebab boleh tulis semua perkara termasuk fesyen, kembara, perniagaan dan undang-undang.
“Tiga tahun saya sempat menjadi wartawan. Ilmu itu membuatkan saya bercampur dengan masyarakat seperti mereka di kawasan rumah berkos rendah juga kanak-kanak autisme. Ia menjadi saya lebih manusiawi,” ceritanya yang pernah berkhidmat di Berita TV9.
Bukan itu sahaja, melihat semakin ramai yang berani mengeluarkan kenyataan bersifat provokatif untuk tular, Hawa menasihati pengguna media sosial untuk mengendahkan sebarang bentuk sokongan termasuklah berkongsi atau menurunkan komen mengenai video tersebut.
“Pesan saya, jika nampak video begini (provokasi) di media sosial, abaikan sahaja. Jangan beri mereka lebih banyak perhatian, tidak seronok.
“Sebaliknya, fokuslah kepada perkara lebih positif dan sebarkan lebih banyak kebaikan,” jelasnya.