ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menempelak pihak yang masih menjadikan kelewatan projek loji rawatan air (LRA) di Kedah sebagai modal untuk menghentamnya biarpun terdapat projek lain menghadapi masalah serupa tidak dijadikan isu.
Beliau berkata, adalah menjadi kebiasaan bagi mana-mana projek besar yang melibatkan kos puluhan juta menghadapi kelewatan untuk disiapkan disebabkan isu-isu teknikal yang timbul ketika proses berjalan dan perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Tambahnya, lanjutan masa (EOT) kepada kontraktor yang diberikan oleh kerajaan termasuk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika Covid-19 juga tidak sepatutnya dijadikan isu kerana sememangnya tiada pihak dapat melaksanakan kerja pada waktu itu.
“Projek (naik taraf jalan) ini begitu lama lah ditunggu, lima tahun lebih. Ada satu penjelasan yang munasabah bila kita bagi sebab PKP memang tak boleh buat apa.
“Ada projek yang kita bagi EOT sebab PKP orang boleh terima tapi ada juga projek orang tak mau terima macam projek LRA dok menyalak sampai hari ini.
“Diberitahu ada EOT sebab PKP tetap tak diterima walhal jalan boleh pula,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Menaiktaraf Jalan Suka Menanti (K137) di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, projek menaik taraf jalan itu yang bermula Disember 2018 turut diberikan beberapa kali EOT kerana faktor PKP dan isu teknikal yang dihadapi ketika proses menyiapkan dilaksanakan kontraktor.
Ujarnya, dalam aspek teknikal, projek jalan itu turut menghadapi kelewatan disebabkan faktor terlepas pandang pengambilan tanah untuk diwartakan di beberapa lot terlibat.
“Kontraktor masuk kerja terpaksa berhenti sebab tanah tak warta jadi kena langkau ke lot lain. Apabila patah balik lalui proses pengambilan, harga dah naik bajet tak cukup dan bila sampai peringkat pembinaan kos pula naik.
“Jadi kerajaan negeri telah buat keputusan dalam mesyuarat untuk tambah peruntukan bagi membantu mengatasi masalah kenaikan kos akibat tertinggal tanah untuk diwarta. Pada peringkat awal tambah RM1.5 juta kerana lot-lot yang tertinggal ini,” katanya.
Justeru, beliau mengingatkan semua pihak agar dapat memberi penekanan terhadap perkara terperinci seperti itu sebelum melaksanakan projek.
“Kadang-kadang kerana kita terpengaruh dengan populariti, kita yakin keupayaan sesuatu syarikat perunding contohnya, tapi dia orang Kuala Lumpur dia tak kenal orang sini dan dia pun tiada pengalaman mendalam di tempat kejadian di Alor Setar.
“Jadi ada tanah-tanah yang tertinggal dalam proses nak buat borang C, nak cari tuan tanah semua itu perlu kepada kearifan dengan keadaan setempat barulah perkara-perkara tertinggal tak berlaku,” ujarnya.-UTUSAN