KUCHING: Jenazah Allahyarham Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang, Petra Jaya.
Isteri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg itu meninggal dunia pada usia 76 tahun kira-kira jam 3.34 pagi semalam ketika mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Normah, di sini.
Jenazah tiba di tanah perkuburan itu kira-kira pukul 1.25 petang selepas solat dan diberi penghormatan terakhir di Masjid Jamek Sarawak.
Ketibaan jenazah turut diiringi ahli keluarga, sahabat handai, anggota-anggota Kabinet dan orang ramai.
Upacara pengebumian berlangsung tertib, dengan proses menurunkan jenazah ke liang lahad disempurnakan oleh anak-anak dan cucu Allahyarham.
Allahyarham yang merupakan anak kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak kedua Tun Tuanku Bujang Tuanku Othman meninggalkan seorang anak lelaki Abang Abdillah Izzarim, 45, dan anak perempuan Dayang Norjihan, 43.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada Abang Johari.
Dalam kenyataannya semalam, Perdana Menteri berkata, beliau dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sedih mendengar berita berkenaan.
“Seluruh ingatan kami pada keluarga Allahyarham, terutama buat Abang Jo yang baru saya temui semalam. Moga terus sabar dan tabah menerima ujian ini,” katanya. – UTUSAN










