KUALA LUMPUR: Iran tidak akan menutup Selat Hormuz yang merupakan laluan maritim strategik meskipun berdepan ketegangan susulan serangan berterusan oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS).
Duta Iran di Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi berkata, penutupan selat itu bukan sebahagian daripada agenda semasa dan Teheran berusaha mengekalkan kestabilan serta keselamatan di rantau Teluk Parsi.
“Buat masa ini, menutup Selat Hormuz tidak berada dalam agenda kami. Iran sentiasa berusaha untuk tidak menjadi penghalang kepada hubungan perdagangan antara negara jiran dan negara lain di seluruh dunia,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Kedutaan Iran, hari ini.
Selat Hormuz, yang terletak antara Iran dan Oman, mengendalikan hampir 30 peratus daripada eksport minyak dunia. Dianggarkan sekitar 14.2 juta tong minyak mentah dan 5.9 juta tong produk petroleum melalui selat itu setiap hari.
Sebarang gangguan di kawasan itu berisiko menjejaskan ekonomi negara pengimport utama seperti China, Jepun, Korea Selatan dan India.
Teheran sebelum ini berdepan tekanan antarabangsa selepas anggota Parlimennya mengancam akan menutup laluan tersebut sebagai tindak balas terhadap serangan AS ke atas fasiliti nuklear Iran.
Bagaimanapun, Mohammadi tidak menolak kemungkinan tindakan lebih drastik diambil sekiranya konflik bersenjata mencapai tahap kritikal.
“Jika berlaku peperangan besar dan kami sendiri tidak dapat menggunakan selat itu, mungkin kami mempertimbangkan untuk menutupnya, termasuk menyekat akses kapal dari Israel.
“Namun sekarang bukan masa perang. Ini adalah perairan antarabangsa dan kami tidak akan menutup laluan itu,” katanya.
Beliau menegaskan Iran tetap komited terhadap kestabilan serantau dan memastikan Selat Hormuz kekal sebagai laluan yang selamat bagi perdagangan global.
“Kami mahu Teluk Parsi kekal aman kerana ia merupakan kawasan strategik untuk perdagangan tenaga global.
“Kami menyokong laluan perdagangan yang terbuka dan kerjasama ekonomi antara Iran, negara jiran dan negara-negara lain di dunia,” katanya. – UTUSAN