LUMUT: Malaysia bertegas menyokong hak Iran yang menyerangkan balas Israel sebagai tindakan mempertahankan maruah negaranya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, serangan balas Iran terhadap serangan Israel wajar dilihat sebagai tindakan mempertahankan diri.
Menurutnya, Malaysia mempertahankan tindakan itu walaupun reaksi negara-negara Barat yang memihak kepada Israel yang sangat tidak adil.
“Beberapa hari yang lalu Iran diserang oleh Israel, senang-senang target bunuh semua saintis, mana ada negara boleh biadab, khianat, gila seperti Israel.
“Umat Islam ada satu bilion lebih, negara Islam kaya tapi nak bercakap pertahankan Iran pun tak ramai. Sebab itu saya bagitahu kawan-kawan saya Malaysia ini biarlah ada keupayaan.
“Tapi kemudian dia (Iran) serang balas. Banyak negara-negara Eropah serang dan marah Iran. Bila Israel serang, kamu diam. Bila Iran jawab balik kamu serang. Saya tak wakili pandangan begitu.
“Kerajaan Perpaduan akan terus berpegang kepada prinsip mempertahankan keadilan, maruah dan hak kedaulatan semua negara, tanpa mengira tekanan atau kecaman antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Negeri Perak di Lumut Waterfront, di sini hari ini.
Anwar kagum dengan kecekalan Iran yang mampu bertahan walaupun dikenakan sekatan ekonomi dan tekanan antarabangsa sejak sekian lama.
Menurutnya, begitupun Iran dapat bertahan melalui pendidikan dan mendisiplinkan anak-anak termasuk belajar AI (kecerdasan buatan).
Katanya, walaupun berdepan tekanan antarabangsa, Iran mampu belajar menghasilkan peluru berpandu yang boleh sampai ke Tel Aviv.
“Sebab itu saya bagi tahu Jemaah Menteri, Malaysia ini biarkan ada keupayaan. Kita negara merdeka, negara berdaulat dan kita mesti pertahankan hak sahabat-sahabat kita termasuk Iran yang telah dizalimi.
“Kita pertahankan hak Iran untuk serang balas mempertahankan hak mereka. Saya puji Iran, kita ada beberapa perbezaan dengan mereka tapi dia ditekan sekian lama sekatan ekonomi begitu lama namun mempunyai daya tahan,” katanya.-UTUSAN










