Impak besi pengadang antara disiasat dalam nahas pelajar UPSI

Impak besi pengadang antara disiasat dalam nahas pelajar UPSI

ANTARA petugas yang berada di kilometer 53 JRTB Gerik-Jeli hari ini bagi menyiasat dan mengumpul bukti kemalangan yang menyebabkan 15 pelajar UPSI kehilangan nyawa kelmarin. - UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Lebih 30 anggota serta petugas pelbagai jabatan dan agensi kerajaan berada di Kilometer 53 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli di sini bagi menyiasat kemalangan bas yang mengorbankan 15 nyawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) semalam.

Antara terlibat ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Jabatan Kerja Raya (JKR), Puspakom, Jabatan Kimia dan Institut Keselamatan Jalan Raya (Miros).

Difahamkan hasil pengumpulan bukti dan maklumat, satu simulasi termasuk berbentuk tiga dimensi (3D) akan dibangunkan untuk menilai kemalangan tersebut.

Operasi siasatan itu turut melibatkan penggunaan dron untuk mendapat gambaran penuh atau pemetaan (mapping) kemalangan.

Seorang petugas berkata, antara sudut teknikal yang akan dikenal pasti adalah keadaan bas sama ada berfungsi secara baik atau tidak, serta jarak kemalangan.

Malah dikatakan, siasatan juga akan tertumpu kepada impak kewujudan besi pengadang tepi jalan yang dilihat menembusi bas dalam tragedi tersebut serta keadaan jalan raya.

“Memandangkan kes kemalangan ini berprofil tinggi, ia akan disiapkan sebaik mungkin. Siasatan akan meliputi pelbagai aspek,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Berkenaan video tular yang menunjukkan bas itu terbabas selepas memotong sebuah kenderaan, seorang lagi petugas berkata, siasatan akan dibuat secara menyeluruh dan tidak bergantung kepada video itu sahaja.

“Kani cuba dapatkan pelbagai lagi bukti. Video tular itu menunjukkan pandangan daripada satu sudut. Kita juga mahu daripada sudut yang lain menerusi pelbagai bukti yang dikumpulkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN