Ibu tunggal rayu anak dipulangkan, dakwa dilarikan lelaki 49 tahun

Ibu tunggal rayu anak dipulangkan, dakwa dilarikan lelaki 49 tahun

SOH SHUI PING (kiri) menunjukkan gambar anak perempuannya berusia 15 tahun yang didakwa dilarikan seorang lelaki dalam sidang akhbar di Masai, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU:  Seorang ibu tunggal tertekan dan buntu memikirkan nasib anak perempuannya, Kwee Yi Xuan, 15, yang didakwa dilarikan seorang lelaki berusia 49 tahun sejak 28 April lalu di Taman Batu Pahat, di sini.

Soh Shui Ping, 35, yang bekerja sebagai pembantu kantin sekolah mendakwa anak sulung daripada empat beradik itu mula mengenali lelaki berkenaan ketika sambutan Tahun Baharu Cina Januari lalu, apabila lelaki tersebut datang membaiki kenderaan milik bapanya.

Katanya, selepas itu, lelaki tersebut sering datang ke sekolah anaknya dan mereka dikatakan berjumpa beberapa kali. 

“Pihak sekolah turut memaklumkan selepas perhubungan itu terjalin, anak saya kerap ponteng,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor di Masai, di sini hari ini.

Shui Ping memaklumkan anaknya menghilangkan diri pada 28 April lalu dan tidak lagi menjawab panggilan atau mesej.

Beliau percaya anaknya dilarikan lelaki dikenali sebagai Lok Kwang Leng, yang turut dikatakan mempunyai reputasi kurang baik di kawasan perumahan mereka.

“Saya sangat risau. Anak saya budak baik, tidak pernah melawan atau bergaduh, tapi sejak kenal lelaki itu, dia mula berubah. Saya cuma mahu dia selamat dan pulang ke rumah,” katanya yang turut membuat laporan polis di Balai Polis Batu Pahat pada 28 April lalu.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan Awam Sayap Bersekutu Bersatu Johor, Lim Thow Siang merayu orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu.

“Remaja ini masih muda dan mudah dipengaruhi. Jika lelaki itu tiada niat jahat, hubungi saya di 019-7786843 dan pulangkan remaja ini kepada keluarganya dengan selamat,” katanya.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan menerima laporan berkenaan, namun mangsa masih belum ditemukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN